KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sekali lagi membawa peluang pendidikan, latihan kemahiran, pembiayaan pengajian dan kerjaya terus kepada komuniti luar bandar menerusi Jerayawara Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026.
Jerayawara selama 29 hari bermula 6 Julai hingga 26 Ogos ini akan menjelajah ke 14 daerah di seluruh Sarawak sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi (IPT), penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agensi kerajaan, penyedia pembiayaan pendidikan serta pemain industri.
Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata, program yang diperkenalkan sejak 2015 itu bertujuan merapatkan jurang maklumat, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dengan membawa terus peluang pendidikan, latihan dan kerjaya kepada komuniti setempat.
“Perubahan pesat dalam teknologi, automasi dan ekonomi digital menuntut golongan muda didedahkan lebih awal kepada laluan pendidikan dan kerjaya yang selari dengan keperluan industri masa hadapan.
“Masa depan tidak menunggu, tetapi dibentuk oleh keputusan yang kita ambil hari ini. Justeru, saya menyeru para pelajar, lepasan sekolah, ibu bapa dan seluruh komuniti untuk hadir ke program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa program tersebut merupakan platform terbaik untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada institusi pengajian tinggi dan pemain industri, termasuk peluang pembiayaan serta bantuan kewangan pendidikan.
“Gunakan peluang ini untuk merancang hala tuju pendidikan serta meneroka pelbagai pilihan kerjaya dan memahami keperluan dunia pekerjaan masa hadapan. Binalah langkah pertama anda hari ini demi masa depan yang gemilang,” ujarnya.
Program itu juga menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan inklusif Sarawak bagi memastikan peluang pendidikan dan pembangunan bakat dapat dinikmati oleh masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar tanpa mengira latar belakang.
Antara objektif utama program termasuklah memperkasakan belia luar bandar melalui laluan pendidikan dan latihan yang mudah diakses, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian, terutamanya dalam bidang TVET.
Pada masa yang sama, program itu bertujuan menyebarkan maklumat mengenai bantuan kewangan pendidikan serta meningkatkan kesedaran terhadap peluang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan ekonomi digital.
Jerayawara itu turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk Ekspo Pendidikan dan Kerjaya yang menghimpunkan 41 reruai melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), penyedia latihan TVET, agensi kerajaan dan institusi pembiayaan pendidikan.
Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran, menyertai pertandingan e-sukan dan kuiz interaktif, serta berpeluang memenangi cabutan bertuah mega.
Program itu turut menampilkan pelbagai sesi ceramah khas yang merangkumi penerangan mengenai Inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Kerajaan Sarawak, Program Penerokaan Kerjaya PERKESO, ceramah motivasi oleh kaunselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan penceramah jemputan Ajak CUT, perkongsian industri minyak dan gas oleh PETROS, serta penerangan mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai PRO-DR 2026 menerusi laman sesawang rasmi atau saluran media sosial agensi berkenaan.



