KUCHING: Sebanyak 11 titik panas dikesan di Sarawak setakat 23 Julai lalu, menunjukkan kemerosotan kualiti udara dalam keadaan membimbangkan di beberapa kawasan di negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, cuaca kering dan tiupan angin dari luar negara menjadi punca utama penurunan kualiti udara, walaupun bacaan masih berada dalam tahap sederhana.
“Data satelit NOAA-20 yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menunjukkan sebanyak 42 titik panas dikesan di Sumatera, 91 di Kalimantan, dan 13 di dalam negara, termasuk 11 di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun tiada kawasan di Sarawak mencatat bacaan IPU tidak sihat setakat jam 3 petang tadi, pemantauan secara intensif tetap diteruskan susulan peningkatan bilangan titik panas di negeri ini yang boleh menyumbang kepada jerebu setempat.
JAS telah menggerakkan rondaan harian di lokasi-lokasi berisiko tinggi seperti tapak pelupusan sampah, ladang, kawasan gambut dan pertanian di seluruh negeri bagi mencegah sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Pemilik tanah perlu memantau kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kejadian pembakaran terbuka sama ada secara sengaja atau tidak, tegas beliau.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi-agensi kerajaan dalam menangani sebarang kemungkinan gelombang jerebu dalam tempoh terdekat.
Menurut data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 8 pagi hari ini menunjukkan kualiti udara di semua kawasan di Sarawak berada pada paras sederhana.
Stesen pemantauan di Lundu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 89, diikuti Kuching (72) dan Mukah (71). Bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana dan tidak menjejaskan kesihatan secara langsung.
Antara kawasan lain yang mencatat bacaan IPU sederhana termasuk Sibu (62), Bintulu (69), Miri (64), Sarikei (62), Limbang (59), Samarahan (68), Sri Aman (65) dan Kapit (55).
Manakala di Serian (67), Samalaju (68), ILP Miri (68), Tebedu (68), Lubok Antu (57), Lawas (55) dan Bario (56) juga menunjukkan paras kualiti udara yang sama.





