SINGAPURA: Republik Singapura berkemungkinan mengalami jerebu pada hujung minggu jika kebakaran di Sumatera berlanjutan dan dipengaruhi arah tiupan angin, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
“Terdapat peningkatan ketara dalam jumlah titik panas di Sumatera, dengan 212 masingmasing dikesan pada 6 Oktober berbanding 65 dan 15 pada 5 Oktober dan 4 Oktober,” menurut agensi itu dalam laman sesawangnya.
NEA memaklumkan kepulan asap dan jerebu dapat diperhatikan daripada imej satelit di selatan dan tengah Sumatera.
“Peralihan singkat arah angin pada petang 6 Oktober, dari tenggara ke selatan, mengakibatkan jerebu bergerak ke Singapura dan menyebabkan kemerosotan kualiti udara,” menurut NEA.
NEA menyatakan bahawa paras PM2.5 selama 1 jam di bahagian selatan dan timur Singapura memasuki paras tinggi (melebihi 55 ug/m3) pada petang 6 Oktober, dan terus meningkat pada 10 malam.
“Sekiranya keadaan berterusan, Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) 24 jam mampu memasuki julat Tidak Sihat (PSI>100) pada hujung minggu,” katanya.
NEA mula menyediakan nasihat jerebu setiap hari mulai 7 Oktober. Nasihat jerebu harian termasuk ramalan PSI 24 jam, yang digunakan oleh orang ramai dalam merancang aktiviti dan acara mereka untuk 24 jam akan datang, katanya.
Nasihat turut dikeluarkan kepada pelbagai sektor sebelum ini termasuk institusi penjagaan kesihatan, prasekolah, sekolah, dan tempat kerja untuk mengingatkan mereka supaya mengambil langkah pengurusan jerebu yang sewajarnya sekiranya PSI 24 jam memasuki lingkungan tidak sihat, terutamanya untuk melindungi kumpulan rentan. – Bernama



