KUCHING: Polis Sarawak akan meneruskan rondaan dan tugasan di lapangan walaupun berdepan keadaan jerebu yang semakin buruk di beberapa kawasan negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, anggota yang menjalankan tugas di luar bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.

Katanya, anggota polis yang bertugas di lapangan termasuk menjalankan rondaan perlu memakai pelitup muka sebagai langkah perlindungan terutama ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap tinggi.
“Kita juga tidak terlepas daripada SOP yang ditetapkan. Yang penting, kalau kita berada di luar, kita kena pakai pelitup muka. Kita bukan Superman. Kita juga perlu menjaga kesihatan dalam memastikan keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sarawak, hari ini yang menyaksikan Pemangku Ketua JSJ Sarawak, Asisten Komisioner Ishak Yaakob menyerahkan tugas kepada Senior Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy.
Mohamad Zainal berkata, anggota yang mempunyai sejarah asma atau masalah berkaitan pernafasan juga perlu mengambil langkah lebih berhati-hati ketika menjalankan tugasan di luar.
Katanya, PDRM Sarawak akan menyediakan pelitup muka kepada anggota sekiranya bekalan sedia ada tidak mencukupi.
Dalam pada itu beliau berkata, program luar PDRM yang melibatkan orang ramai turut ditangguhkan susulan keadaan jerebu ketika ini.
Katanya, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri yang menangguhkan beberapa acara besar bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang awam.
Justeru, beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota supaya terus mematuhi SOP serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kesihatan ketika bertugas.



