KUCHING: Isu jerebu rentas sempadan tidak wajar dijadikan alasan untuk mempersoalkan usaha Sarawak mendapatkan autonomi lebih besar dalam hal ehwal alam sekitar, kata ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap.
Menurutnya, perkara itu perlu dilihat berdasarkan bidang kuasa dan punca pencemaran, termasuk isu jerebu rentas sempadan serta faktor cuaca yang berada di luar kawalan Kerajaan Sarawak.
“Saya bersetuju bahawa autonomi yang lebih besar mesti datang bersama tanggungjawab, tindakan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.
“Tetapi terdapat satu prinsip yang sama penting, iaitu tanggungjawab mesti sepadan dengan kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, jika Sarawak mahu dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas perkara berkaitan alam sekitar, negeri ini perlu mempunyai kuasa perundangan, kawal selia dan penguatkuasaan yang mencukupi bagi membolehkan tindakan berkesan diambil.
Dalam pada itu jelasnya, tidak wajar untuk semua isu berkaitan kualiti udara dan jerebu diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri tanpa mengambil kira punca serta bidang kuasa masing-masing.
“Adakah DAP benar-benar percaya disebabkan Sarawak mahukan kuasa lebih besar dalam hal ehwal alam sekitar, kerajaan negeri boleh mengawal angin, cuaca atau jerebu yang datang dari luar sempadan?
“Jika itu standard yang digunakan, ia bukan akauntabiliti, tetapi gimik politik yang diselindungkan sebagai kebimbangan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP sama ada parti itu menyokong Sarawak diberikan kuasa alam sekitar yang lebih besar berserta kuasa yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
“Jika jawapannya ya, mengapa menggunakan isu jerebu untuk memperlekehkan usaha Sarawak mendapatkan autonomi?
“Jika jawapannya tidak, DAP perlu menjelaskan mengapa Sarawak harus dipertanggungjawabkan ke atas perkara yang tidak berada sepenuhnya dalam bidang kuasanya,” katanya.
Beliau menegaskan Sarawak tidak menuntut autonomi lebih besar untuk mengelak tanggungjawab, sebaliknya mahu diberikan kuasa supaya dapat memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam urusan alam sekitar negeri.


