KUCHING: Keadaan jerebu rentas sempadan dijangka berlarutan beberapa hari lagi, membabitkan 19 kawasan di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata antara kawasan yang dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
“Berdasarkan Laporan Pergerakan Jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, jerebu rentas sempadan dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di negeri ini dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Timbalan Premier itu, Miri dan Serian diramal mengalami kualiti udara pada tahap tidak sihat hari ini dan keadaan itu dijangka beralih ke Betong pada 9 Ogos apabila kepekatan zarah halus PM2.5 diramalkan mencapai tahap tidak sihat di kawasan berkenaan.
Situasi itu, katanya, berlaku susulan corak tiupan angin semasa yang membawa asap dari titik panas di kawasan berjiran masuk ke Sarawak.
PM2.5 merujuk kepada zarah pencemar yang sangat halus dalam udara, iaitu partikel berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil yang boleh berpunca daripada asap, pembakaran dan pencemaran udara.
Oleh kerana saiznya yang sangat kecil, zarah ini boleh masuk jauh ke dalam sistem pernafasan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya terus berwaspada kerana keadaan cuaca dan corak tiupan angin boleh berubah pada bila-bila masa, selain memantau bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan nasihat rasmi daripada pihak berkuasa.
“Orang ramai juga digesa mengurangkan aktiviti luar, terutama senaman berat, sekiranya kualiti udara merosot bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
“Pastikan pintu dan tingkap ditutup ketika tahap jerebu tinggi serta memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan,” katanya.
Dalam masa sama, Uggah berkata orang ramai disaran supaya memastikan pengambilan air mencukupi dan mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas, ketidakselesaan dada atau batuk yang berterusan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, dengan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerusi talian 082-447 488 atau 082-319 500.
“JPBNS bersama MetMalaysia, NREB, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan lain akan terus memantau situasi itu dengan rapi dan menyelaras langkah tindak balas yang diperlukan bagi melindungi kesihatan serta keselamatan orang awam,” jelasnya.


