KUCHING: Sarawak sekali lagi berdepan ancaman jerebu rentas sempadan apabila tiga kawasan di negeri ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori tidak sihat, manakala keadaan berjerebu dijangka berterusan sekurang-kurangnya hingga esok.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat 10 pagi, Samarahan merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 135, diikuti Kuching (133) dan Tebedu (121).
“Sebanyak 13 kawasan lain berada pada kategori sederhana manakala hanya Bario mencatat bacaan IPU dalam kategori baik,” kata NREB.
Menurut NREB, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 6 Ogos, sebanyak 18 titik panas dikesan di Sarawak.
Bagaimanapun katanya, dalam tempoh sama, Kalimantan, Indonesia merekodkan sebanyak 1,756 titik panas, termasuk 905 titik panas yang dikesan dalam tempoh tiga hari lalu.
“Situasi itu menunjukkan kemerosotan kualiti udara di Sarawak ketika ini dipercayai berpunca terutamanya daripada jerebu rentas sempadan dan bukannya aktiviti pembakaran terbuka dalam negeri memandangkan hanya enam titik panas direkodkan di Sarawak sepanjang tiga hari kebelakangan ini,” katanya lagi.
NREB berkata, berdasarkan Laporan Pergerakan Asap Jerebu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan berjerebu dijangka berterusan sehingga 8 Ogos khususnya di Bau, Bintulu, Dalat, Daro, Kanowit, Kapit, Kuching, Lundu, Matu, Meradong, Miri, Mukah, Samarahan, Sarikei, Selangau, Sibu, Simunjan, Song dan Tatau.
Menurut kenyataan itu, negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir pada September ini.
“Keadaan tersebut menyebabkan tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya yang berpotensi membawa asap jerebu rentas sempadan ke Sarawak sekali gus menjejaskan kualiti udara sekiranya pembakaran biojisim di luar sempadan terus meningkat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi serta memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka, khususnya golongan berisiko tinggi,” jelasnya.
Pada masa sama, NREB turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.



