KUCHING: Jerebu rentas sempadan kembali menjejaskan kualiti udara di Sarawak apabila tujuh daripada 18 kawasan pemantauan merekodkan bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) antara 101 hingga 200 yang dikategorikan sebagai tidak sihat.
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara kembali merosot selepas beberapa hari lalu, semua kawasan di negeri ini merekodkan bacaan IPU di bawah paras 100 atau pada tahap sederhana.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak setakat jam 11 pagi ini, Lundu mencatat bacaan tertinggi iaitu 173, diikuti Serian (161), Lubok Antu (159), Kuching (157), Sri Aman (154), Mukah (152) dan Samarahan (102).
Dalam pada itu, 11 kawasan masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, iaitu antara 51 hingga 100, dikategorikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 sebagai tidak sihat.
Kawasan berkenaan ialah Tebedu dengan bacaan IPU 98, Bintulu (98), Sibu (97), Sarikei (93), Samalaju (87), Miri (83), ILP Miri (84), Lawas (82), Limbang (74), Bario (68) dan Kapit (64).
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Golongan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan, perlu mengambil langkah lebih berhati-hati ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.



