ARTIKEL

Syed Airil Adli (kiri) dan Adam Rizqi (kanan) bergambar pada pelancaran jersi baharu Kuching City FC di Kuching, semalam.

Jersi baharu The Cats cetus impian generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancaran jersi baharu Kuching City FC (KCFC) musim 2026/2027 di Plaza Merdeka, di sini, semalam, bukan sahaja menarik penyokong setia, malah mencetuskan impian dalam kalangan peminat cilik untuk suatu hari nanti menyarung jersi pasukan itu.

Bagi Syed Airil Adli dan Adam Rizqi, kedua-duanya berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Gita, jersi The Cats menjadi simbol impian untuk mengikuti jejak pemain yang mereka kagumi.

Gabor Kardosi

Kedua-duanya yang turut bermain bola sepak di peringkat sekolah hadir bersama keluarga dengan harapan dapat bertemu penjaga gol Kuching City FC, Haziq Nadzli, yang menjadi idola mereka.

Walaupun belum berkesempatan membeli jersi baharu itu, mereka merancang untuk menabung bagi memilikinya.

Abang Muhatsiin

Kehadiran peminat cilik itu mencerminkan minat generasi muda terhadap The Cats, khususnya selepas pasukan berkenaan mencatat pencapaian terbaik dalam saingan Liga Super musim lalu.

Pelancaran berkenaan turut menarik kehadiran penyokong daripada pelbagai latar belakang, termasuk peminat tempatan, kanak-kanak dan penyokong dari luar negara.

Nurfariesyah Adriana Fairul

Bagi warga Hungary, Gabor Kardosi, 49, yang sudah menetap di Kuching kira-kira tiga tahun, minat terhadap The Cats membuktikan bola sepak mampu merentasi sempadan dan budaya.

Katanya, beliau tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan perlawanan Kuching City FC di laman sendiri sepanjang menetap di Kuching.

Menurutnya, pencapaian The Cats sebagai naib juara Liga Super 2025/2026 serta kejayaan melangkah ke final Piala Malaysia menjadi antara sebab beliau terus mengikuti perkembangan pasukan itu.

Kuching City FC turut mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027, sekali gus kembali ke pentas Asia selepas penantian sedekad.

Sementara itu, peminat tempatan, Abang Muhatsiin, 38, dari Tabuan Desa sanggup hadir seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan jersi baharu berkenaan.

Katanya, beliau turut membawa poster pemain untuk mendapatkan tandatangan, selain berharap dapat bertemu penyerang import baharu, Ajdin Mujagic.

Abang Muhatsiin turut berharap Kuching City FC mampu mencipta lebih banyak kejayaan musim ini, termasuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Bagi penyokong wanita, Nurfariesyah Adriana Fairul, 20, keadaan fizikal bukan penghalang untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan kesayangannya.

Nurfariesyah yang berkerusi roda tiba di Plaza Merdeka seawal jam 12 tengah hari bagi menyaksikan pelancaran jersi baharu dan bersama-sama penyokong lain.

“Saya harap jersi baharu ini lebih cantik daripada sebelum ini. Saya juga berharap pasukan tampil lebih gagah musim ini dan dapat mengalahkan JDT,” katanya.

Musim 2026/2027 bakal menjadi lembaran baharu buat The Cats dengan sasaran lebih tinggi selepas kejayaan muncul naib juara Liga Super dan mara ke final Piala Malaysia musim lalu.

Penyertaan di ACL2 juga bakal menguji kemampuan pasukan dalam saingan lebih kompetitif, termasuk berdepan lawan dari luar negara.

Namun, di sebalik sasaran tersebut, sokongan penyokong terus menjadi antara kekuatan utama The Cats, seperti yang dapat dilihat menerusi kehadiran peminat pelbagai usia dan latar belakang pada pelancaran jersi baharu itu.

Bagi Syed Airil Adli dan Adam Rizqi, jersi tersebut bukan sekadar lambang sokongan, sebaliknya menjadi simbol impian untuk suatu hari nanti menyarung sendiri jersi The Cats sebagai pemain.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai