PUTRAJAYA: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sekali lagi melakar sejarah apabila menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 bertaraf Lima Bintang (Cemerlang) yang merupakan pengiktirafan tertinggi kecemerlangan pengurusan keselamatan perlindungan sesebuah agensi kerajaan.
JHS berkata, anugerah berkenaan mencerminkan tahap kecemerlangan jabatan itu dalam aspek keselamatan fizikal, pengurusan dokumen terperingkat, keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta pematuhan dasar dan peraturan keselamatan kerajaan.
“Pencapaian ini amat membanggakan kerana JHS merupakan satu-satunya agensi Kerajaan Sarawak yang menerima pengiktirafan tersebut sekali gus membuktikan komitmen jabatan dalam mengamalkan tadbir urus keselamatan perlindungan cemerlang dan menepati standard yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pengiktirafan ini juga mencerminkan usaha berterusan kami dalam memperkukuh sistem pengurusan keselamatan organisasi, melindungi aset kerajaan serta memastikan kerahsiaan maklumat sentiasa terpelihara sejajar dengan keperluan semasa dan cabaran era digital,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Anugerah berkenaan juga disampaikan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri.
Majlis penyampaian disempurnakan oleb Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Dewan Damar Sari, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.


