KUCHING: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditangkap dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak ke atas beberapa premis makanan dan rumah di sekitar bandar raya ini.
JIM Sarawak dalam kenyataan, berkata kesemua Pati itu dicekup dalam Ops Selera yang dijalankan pada pagi semalam, dengan menyasarkan premis makanan serta rumah di Taman Sukma, Kampung Semerah Padi, Tabuan, Pekan Batu 10 dan sebuah medan selera di Batu 4.
“Premis-premis tersebut dipercayai menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah selain membenarkan Pati tinggal di rumah berkenaan.


“Ketika serbuan dijalankan, terdapat cubaan daripada beberapa warga asing untuk melarikan diri bagi mengelakkan ditahan, namun hasil tindakan pantas serta kecekapan pegawai operasi, kesemua individu terbabit berjaya ditahan,” katanya.
Sementara itu, JIM Sarawak berkata dalam serbuan Ops Gegar dan Ops Selera yang dijalankan pada 14 Mei lalu di Bau, seramai 16 Pati warga Indonesia ditahan di sekitar Kg. Jambusan, Pekan Bau dan Siniawan Central.
Katanya antara lokasi yang disasarkan termasuklah pusat refleksologi, pusat hiburan serta beberapa premis makanan yang dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan di sekitar Pekan Bau dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan (Sosial) dengan bekerja di pusat hiburan,” katanya.
Katanya kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 55 tahun itu telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.


