GEDONG: Jika anda ke Gedong, sekitar 89 kilometer dari bandar raya Kuching, anda akan melihat pelbagai jenis sayur ditanam di dalam polibeg, menghiasi pekarangan rumah penduduk.
Ia kelihatan menghijau, melenyapkan warna hitam polibeg.
Ia bagaikan trend baharu bagi penduduk kampung di sini, yang semakin memperbanyakkan tanaman mereka.
Beg plastik berukuran 30 sentimeter diisi tanah yang bercampur baja sesuai untuk pelbagai jenis tanaman kontan seperti sawi, lobak putih, cili, tomato, lengkuas, halia dan pelbagai jenis terung dan bendi serta tanaman lain yang sesuai.
Menurut pengusaha, Suliman Razak, bertani dengan menggunakan polibeg bukan sahaja mudah diurus, tetapi turut mengeluarkan hasil yang lebih baik dan berkualiti.

Katanya, tidak sukar untuk menyelenggarakan tanaman di dalam polibeg.
Malah katanya, kita juga tidak perlu risau dengan tumbuhan lain seperti rumput atau lalang seperti di kebun biasa.
“Semua tanaman ini diletakkan di dalam polibeg dan disusun rapi di tepi rumah.
Dengan cara ini kita boleh mengurusnya pada bila-bila masa, termasuk pada waktu malam,” katanya.
Suliman mengusahakan sebanyak 215 polibeg dengan tanaman sawi manis, salad, sawi pahit, sawi hibrid dan sawi putih di pekarangan rumahnya di Kampung Lot Gedong.

Menurutnya, semua tanaman itu boleh dituai dalam masa terdekat.
Seorang lagi penduduk, Mahli Aren dari Kampung Lalang Mayak, Gedong turut menjalankan aktiviti yang sama di tepi rumahnya.
Mahli mengusahakan tanaman pelbagai jenis sayur seperti terung asam, kacang panjang, cili dan halia menggunakan 460 polibeg.
“Saya telah mengusahakan tanaman ini sejak tahun lalu, dan alhamdulillah hasilnya memuaskan.
“Namun setakat ini hasil tanaman saya masih dijual di kawasan Gedong sahaja kerana permintaannya cukup tinggi dan tidak sempat dijual di luar kawasan,” katanya.

Turut mengusahakan tanaman secara polibeg ialah Dorris Tuyang di Kampung Spaoh, dekat Gedong.
Beliau mengusahakan tanaman seperti jagung, cili, tembikai dan pelbagai jenis sayur.
Menurutnya, ia hanya dijual di tepi jalan di kampungnya dan sambutan amat menggalakkan.
“Hasil jualan dapat meringankan beban perbelanjaan dapur kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, penggunaan polibeg bukan sahaja memudahkan dan memberi hasil yang lumayan, tetapi menjimatkan kos.
Cuma ia memerlukan penjagaan rapi dan perhatian sepanjang masa, seperti pembajaan dan pemeriksaan serangga perosak.
Selain itu, polibeg hendaklah sentiasa bersih dengan membuang daun yang mati atau luruh.



