ARTIKEL

Jiwa di sebalik sebuah berita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TIDAK semua yang tular itu benar dan tidak semua yang popular layak dijadikan berita. Dalam pemilihan berita, maklumat yang tersebar pantas di media sosial sering kali mencetuskan persepsi, emosi dan perdebatan awam, namun tidak semuanya berasaskan fakta yang sahih. 

Justeru, media mempunyai tanggungjawab besar untuk menilai setiap isu dengan teliti sebelum menjadikannya bahan berita.

Populariti isu, video atau kenyataan tidak boleh menjadi ukuran utama sebaliknya kesahihan, kepentingan awam dan kesannya terhadap pengundi perlu diberi keutamaan.

Ketepatan maklumat jauh lebih penting daripada mengejar perhatian.

Di sini letaknya profesionalisme seorang wartawan yang perlu bijak membezakan antara fakta dengan spekulasi. Namun, di sebalik setiap berita yang diterbitkan, wujud satu proses yang jarang diketahui pembaca. 

Berita yang berkualiti bukan lahir secara kebetulan. Ia hasil kerjasama editor, wartawan dan wartawan mudah alih yang masing-masing memainkan peranan penting bagi memastikan maklumat yang sampai tepat, seimbang dan boleh dipercayai.

Dalam dunia kewartawanan, ketepatan sentiasa mengatasi kepantasan. Meskipun teknologi membolehkan berita disebarkan dalam beberapa saat, kredibiliti media tetap bergantung kepada sejauh mana ia menjaga kebenaran fakta. 

Pada masa yang sama, kecerdasan buatan (AI) mula menjadi sebahagian daripada rutin di bilik berita. AI mampu membantu mencari maklumat latar, menyusun data, meringkaskan dokumen yang panjang atau mencadangkan struktur penulisan. Namun percayalah, AI hanyalah alat.

AI boleh memandu proses kerja tetapi AI tidak boleh menggantikan proses kewartawanan. AI tidak berada di lokasi kejadian. AI tidak menemu bual orang. AI tidak mampu menilai sama ada seseorang bercakap dengan jujur atau sekadar membuat dakwaan. AI juga tidak memikul tanggungjawab apabila sesuatu laporan diterbitkan.

AI cuma boleh memandu penulisan, bukan untuk disalin 100 peratus. Hakikatnya, inti sebenar kewartawanan bukan terletak pada teknologi tetapi pada jiwa wartawan itu sendiri.

Jiwa itulah yang membuatkan seorang wartawan sanggup meredah hujan untuk mendapatkan cerita sebenar. Jiwa itulah yang mendorongnya menghubungi sumber buat kali kedua dan ketiga hanya untuk mengesahkan satu fakta. Jiwa itulah yang mengajar bahawa setiap berita bukan sekadar laporan, tetapi amanah kepada masyarakat.

Kredibiliti wartawan tidak dibina dalam sehari. Ia lahir daripada disiplin menyemak fakta berulang kali, keberanian menolak maklumat belum disahkan dan kejujuran membetulkan kesilapan jika ia berlaku. Nama seorang wartawan menjadi jaminan kepada setiap laporan yang diterbitkannya. Tanggungjawab itu tetap di jiwa wartawan yang mencari fakta dan editor yang membuat keputusan untuk menerbitkannya.

Di lapangan pula, wartawan menjadi mata dan telinga masyarakat. Mereka turun ke lokasi kejadian, menemu bual sumber, mendapatkan reaksi pelbagai pihak dan menyaksikan sendiri sesuatu peristiwa sebelum menulis laporan. 

Tugas mereka bukan sekadar mengumpul maklumat, tetapi memahami konteks sesuatu isu. Wartawan perlu mengemukakan soalan yang tepat, mendengar dengan teliti dan memastikan setiap laporan menggambarkan keadaan sebenar, bukannya sekadar mengejar sensasi.

Kemajuan teknologi pula melahirkan wartawan mudah alih atau MoJo, yang kini menjadi antara aset penting organisasi media. 

Dengan hanya menggunakan telefon pintar, mereka mampu merakam video, mengambil gambar, membuat siaran langsung dan menghantar laporan dari lokasi kejadian dalam masa yang sangat singkat. Kepantasan ini membolehkan pembaca mengetahui perkembangan hampir secara masa nyata.

Namun, kepantasan bukan lesen untuk mengabaikan pengesahan fakta. Wartawan mudah alih tetap perlu memastikan maklumat yang disampaikan tepat kerana kesilapan yang disiarkan secara langsung sukar dipadam daripada ingatan pembaca. 

Selepas berita diterbitkan, tugas menjelaskan sesuatu isu secara lebih mendalam pula menjadi tanggungjawab kolumnis. Mereka membantu pembaca memahami perkara yang tidak dapat dihuraikan dalam laporan berita biasa. 

Hakikatnya, kewartawanan hari ini bukan lagi sekadar menulis berita. Ia menuntut keupayaan mengesahkan maklumat, menyampaikan laporan secara pantas tanpa mengorbankan ketepatan, serta membantu masyarakat memahami isu melalui analisis yang bernas.

Namun ada satu lagi benteng terakhir yang paling penting sebelum berita itu sampai kepada pembaca, iaitu terletak di hujung jari dan keputusan editor. Kami bukan sekadar membetulkan ejaan atau menyusun ayat agar lebih menarik dibaca. Berita yang dibaca pembaca ibarat ayam mentah dicuci, diperap dengan rempah ratus kemudian digoreng sehingga masak sebelum dihidang di atas meja untuk dijamah.

Saya mengambil contoh editor surat khabar pada peringkat organisasi kecil seperti kami yang dihidangkan hampir 51 berita utama setiap hari untuk diterbitkan dalam 17 halaman. Lima puluh satu berita itu tidak semuanya bersih dan sempurna. Ada kebocoran di mana-mana, ketirisan fakta sana sini malah ada sahaja yang perlu diubah dari A ke Z. Bukan hendak ‘berdengah’ kata Melayu Sarawak, namun inilah hakikat kerja kami setiap hari.

Kami membuat lima tapisan sebelum sampai ke tangan pembaca. Pertama, menyunting lapisan tebal selepas diambil daripada e-mel. Kedua, menyuntingnya sekali lagi sebelum dihantar ke komputer reka bentuk untuk disesuaikan dengan gambar. Ketiga, kami perlu menyunting sekali lagi dengan mata, telinga serta kearifan masing-masing.

Jangan anggap kami menerimanya bulat-bulat dan berpandangan, sekali dua kali sunting sudah sempurna. Peringkat keempat, ia harus dipruf bergilir-gilir antara editor bertugas hingga semua halaman disatukan dalam PDF, sebelum disemak semula seterusnya dihantar ke kilang. 

Nampak sukar bukan, namun kami tidak menganggap ia beban. Mungkin editor bertugas lain caranya. Kami bertanggungjawab memastikan setiap fakta disahkan, setiap berita mempunyai sumber jelas dan setiap laporan disampaikan secara adil tanpa dipengaruhi emosi atau kecenderungan tertentu.

Dalam era media sosial yang sarat dengan maklumat tidak sahih, editor menjadi penjaga kepada integriti organisasi media. Kesilapan kecil seperti angka, nama atau petikan yang tersilap mampu menghakis kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun.

Dalam dunia yang semakin pantas dan dipenuhi pelbagai maklumat, kepercayaan menjadi aset paling bernilai bagi organisasi media. Kepercayaan itu tidak dibina melalui tajuk sensasi tetapi melalui disiplin menyemak fakta, keseimbangan laporan dan komitmen terhadap etika dalam barisan editorial. 

Akhirnya, kejayaan organisasi media bukan diukur berdasarkan jumlah berita yang diterbitkan dalam sehari. Sebaliknya, kejayaan sebenar apabila setiap berita yang disiarkan diyakini pembaca kerana mereka tahu bahawa di sebalik setiap laporan, ada editor yang teliti, wartawan berintegriti, wartawan mudah alih yang pantas tetapi bertanggungjawab serta kolumnis yang membantu pembaca melihat sesuatu isu dengan lebih jelas.

Itulah asas kewartawanan yang akan terus relevan. Walau setinggi mana teknologi berkembang dan walau sepantas mana berita bergerak, kepercayaan pembaca tetap bermula dengan satu perkara yang tidak pernah berubah iaitu komitmen terhadap kebenaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU