ARTIKEL

RAMPAS… Minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Lorong Ding Lik Kwong 31A3, Sibu, awal pagi 24 November lalu.

JKDM gagalkan cubaan seludup minuman keras berskala besar di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sindiket penyeludupan minuman keras berskala besar berjaya digagalkan apabila pihak berkuasa merampas 104,544 liter minuman keras dalam serbuan di sebuah gudang di Lorong Ding Lik Kwong 31A3, di sini, awal pagi 24 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Siti Mang berkata serbuan dijalankan sekitar jam 12.05 pagi berdasarkan maklumat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Ibu Pejabat dengan kerjasama JKDM Sarawak serta Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).

RAMPAS… Minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Lorong Ding Lik Kwong 31A3, Sibu, awal pagi 24 November lalu.

“Operasi itu menemui enam kontena bersaiz 20 kaki yang diletakkan di atas treler, dengan kesemuanya mengandungi minuman keras dipercayai barang larangan.

“Pemeriksaan penuh masih dijalankan bagi mengesahkan kuantiti sebenar, nilai serta cukai yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siti berkata pengimportan minuman keras tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam, dan setiap barangan wajib dilekatkan dengan setem cukai mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai menyembunyikan kontena berisi minuman keras di gudang transit sebelum diedarkan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Siti turut menyeru orang awam untuk bekerjasama membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, mercun, dadah, kenderaan dan minuman keras.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara tetapi turut menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebarang maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU