BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 42,130 gram dadah berbahaya jenis pil ekstasi (MDMA) bernilai lebih RM7 juta di Bintulu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata, tangkapan itu dilakukan pada 4 Julai lalu membabitkan dua kes berasingan.
“Pada tarikh tersebut, lebih kurang 2 petang, sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Putrajaya dan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Bintulu.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu bungkusan kiriman kurier mengandungi dadah berbahaya jenis pil MDMA seberat 25,330 gram dan dianggarkan bernilai RM4,230,110,” katanya dalam sidang media JKDM Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, modus operandi bagi kes ini adalah melalui mod udara dengan membuat pengikraran sebagai barang dagangan ‘Organic Coconut’.

Norizan (dua kanan) dan yang lain menunjukkan barang rampasan semasa sidang media tersebut.
Katanya lagi, ia dialamatkan ke alamat yang tidak lengkap bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Manakala, kes kedua pula serbuan yang dilakukan oleh pasukan yang sama ke atas sebuah kedai runcit dan sebuah rumah kediaman di Jalan Tun Hussein Onn, lebih kurang 3 petang.
“Pemeriksaan yang dilakukan menemukan satu bungkusan disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis pil MDMA dengan anggaran berat kasar 16,800 gram, bernilai hampir RM2,805,600.
“Dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita ditahan dalam serbuan tersebut. Wang tunai berjumlah RM117,600 yang ditemukan di rumah suspek turut dirampas.
“Modus operandi bagi kes ini ialah menyeludup dadah berbahaya dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak melalui mod udara dengan membuat pengikraran sebagai barang dagangan ‘Organic Coconut’,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, barang kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan masih dalam siasatan.
Tegasnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman diberikan oleh mahkamah ialah hukuman penjara seumur hidup, pesalah hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan.
Dalam pada itu, Norizan menggesa orang ramai agar membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Tambahnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM turut menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.

Antara barang rampasan semasa serbuan pada 4 Julai lalu.




