KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan mengemukakan permohonan peruntukan untuk kerja-kerja penambahbaikan secara keseluruhan Hospital Sibu.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, ia merupakan langkah penyelesaian jangka panjang supaya hospital tersebut dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta berkualiti kepada pesakit.
Sementara mengenai isu sebahagian siling Wad 26 di Hospital Sibu yang terdedah dan membimbangkan orang ramai khususnya berkaitan keselamatan, katanya penggantian siling telah dilakukan namun beberapa faktor menyebabkan ia terdedah seperti dilaporkan akhbar tempatan.
“Kejadian itu bermula daripada masalah kondensasi air dan kulat di wad yang dilaporkan sejak 2019.
“Walaupun kerja-kerja pembaikan telah dilakukan oleh pihak Hospital Sibu, tetapi isu kondensasi tetap berlaku. Bahkan setelah menaik taraf wad Paediatric Intensive Care Unit (PICU) pada tahun 2022, masalah semakin ketara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, susulan itu pihak syarikat konsensi telah membuat satu siasatan dan mengesyorkan pembaikan secara menyeluruh untuk sistem perpaipan air sejuk dan insulasi harus dilakukan.
“Oleh itu, Hospital Sibu telah melaksanakan beberapa lagi tindakan pencegahan isu itu bagi mengurangkan risiko kecederaan.
“Ia termasuk pemasangan tanda lantai licin, bekas tadahan titisan air dan jaring keselamatan serta JKNS telah memohon kelulusan peruntukan daripada pihak kementerian,” jelasnya.
JKNS dalam pada itu memberitahu wad berkenaan masih digunakan memandangkan Hospital Sibu merupakan Hospital Pakar Utama Zon Sarawak Tengah kerana penutupan
wad yang terjejas boleh mengganggu perkhidmatan klinikal dan rawatan pakar pesakit.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berharap KKM dapat melihat keperluan mendesak untuk memperbaiki keadaan Hospital Sibu demi keselamatan penggunanya.



