BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited memastikan projek pembangunan kemudahan penyiaran di bawah Kementerian Komunikasi dilaksanakan secara efisien, berkualiti serta siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah Sektor Bangunan dan Pakar JKR Sarawak, Sharifah Liz Farawati Wan Omar, berkata JKR Sarawak selaku agensi pelaksana akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Menurut beliau, projek yang terlibat merangkumi pembangunan RTM Bintulu serta pembinaan kuarters Jabatan Penyiaran Malaysia di Sibu dan Sri Aman.
“JKR Sarawak akan terus komited memastikan projek-projek ini dilaksanakan secara efisien, berkualiti dan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan Kompleks RTM Bintulu, kuarters baharu RTM Sibu dan Sri Aman di bilik mesyuarat JKR Bintulu pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Komunikasi serta Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sarawak bagi memastikan pelaksanaan projek kementerian dapat berjalan dengan lancar.
Pada masa sama, beliau berharap kontraktor yang dilantik dapat memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh profesionalisme.





