JKR S’wak jawab rungutan DAP

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menjawab mengenai status projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Menurut kenyataan JKR Sarawak, projek berkenaan merupakan projek baharu yang telah diluluskan di bawah Pelan Pusingan Tiga, Rancangan Malaysia ke-11 (RP3 RMKe -11).

Katanya, satu jajaran baharu telah dicadangkan memandangkan jajaran jalan terdahulu melibatkan unit kediaman yang banyak, rizab jalan yang sempit, jajaran jalan yang berselekoh tajam dan kos pampasan yang tinggi.

“Tapak untuk jajaran baharu ini telah diluluskan oleh Unit Perancangan Negeri (SPA) dan kemudiannya dipersetujui oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) pada Mei 2019 dengan syarat kos projek tidak melebihi had yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (MEA) sebelum ini,” katanya menjawab respons dalam laporan akhbar tempatan mengenai status Projek Pembinaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan LTAK.

Kenyataan itu menambah, jajaran baharu ini akan melibatkan dua seksyen iaitu seksyen utama

yang menyambungkan kawasan Stutong dengan kawasan Muara Tuang bagi mengurangkan kesesakan trafik di antara Kuching dan Samarahan.

Katanya, seksyen utama ini akan dibina kepada Standard U5 dengan panjangnya kira-kira 6.5 km.

“Dalam seksyen utama ini, dua jambatan konkrit akan dibina untuk merentasi Sungai Stampin dan Sungai Kuap.

“Seksyen kedua adalah untuk menyambungkan seksyen utama dengan kawasan Sungai Tapang bagi mengatasi kesesakan trafik di antara Kuching dan kawasan Sungai Tapang, kawasan Batu 7 serta Kota Sentosa,” jelasnya.

Beliau berkata, seksyen kedua juga akan dibina kepada Standard U5 dengan panjangnya kira-kira 1.3 km dan satu jambatan kon- krit akan dibina merentasi Sungai Sangkoh.

Dengan kos projek sebanyak RM129.7 juta, kedua-dua seksyen jalan ini akan dibina dengan dua lorong dua hala dan sebahagian seksyen akan dibina dengan empat lorong dua hala.

“Pada masa ini, pihak JKR Sarawak sedang menjalankan kajian Impak Alam Sekitar dan kerja-kerja ukur tanah di sepanjang jajaran jalan ini.

Manakala proses perolehan perkhidmatan perunding untuk reka bentuk terperinci sedang dijalankan secara tender terbuka,” jelas JKR Sarawak dalam kenyataan medianya.

Selain itu, Value Assessment Lab (VA) untuk memuktamadkan skop dan kos projek ini bersama-sama dengan MEA juga telah dijadualkan pada bulan September ini.

“Reka bentuk terperinci akan dapat dimulakan bergantung kepada keputusan VA dan kelulusan MEA nanti.

“Peruntukan tahun 2019 akan diguna pakai untuk melaksanakan kerja-kerja awalan, reka bentuk dan pampasan tanah.

“Kami menjangkakan pembinaan jalan ini akan bermula dalam tahun 2020 mengambil masa selama 2 tahun dan akan disiapkan dalam tahun 2022,” kata JKR Sarawak.

Suara Sarawak