SIBU: “Joey, kita sudah pulang.”
Bisikan lembut yang berulang itu menggambarkan betapa mendalamnya kesedihan dan kerinduan ketika jasad guru pelatih berusia 20 tahun, Joey Ling, tiba di sini, malam ini.
Joey Ling, anak jati Sibu yang meninggal dunia secara tragis akibat lemas dalam insiden berkayak melibatkan pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, diiringi pulang oleh keluarganya dalam suasana penuh hiba.
Penerbangan yang membawa kerandanya mendarat di Lapangan Terbang Sibu dan jasad mendiang dibawa keluar dari terminal kargo lapangan terbang, sementara ahli keluarga dan rakan terdekat menunggu dalam diam dengan wajah sarat dengan kesedihan.
Ketika keranda diangkat masuk ke dalam van, bapanya bersama-sama dua kakaknya memanggil perlahan; ‘Joey, anak kami, kita sudah pulang’. Satu detik yang menyentuh hati mereka yang hadir.
Ibunya pula, sambil memegang payung, berjalan di sisi dalam keadaan amat berdukacita.
Keletihan selepas beberapa hari perjalanan dan beban kehilangan seorang anak jelas terpancar, menjadikan keluarga itu kelihatan lesu dan hancur hati.
Petugas perkhidmatan pengebumian dan saudara-mara turut berada di lokasi, berdiri dengan penuh hormat mengiringi perjalanan terakhir wanita muda itu.
Pegawai dari Jabatan Pendidikan turut hadir untuk menyambut jasad mendiang, manakala wakil dari IPG Kampus Rajang juga datang memberikan penghormatan terakhir.
Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Ahli Chikba, yang mewakili Jabatan Pendidikan Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, turut menyampaikan sumbangan takziah kepada keluarga sebagai tanda sokongan.
Menurut ahli keluarga, Ling baru lebih setahun menuntut di institut tersebut.
Dia sempat pulang ke Sibu semasa cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini untuk bersama-sama keluarga, namun tragedi menimpanya tidak sampai seminggu selepas kembali menyambung pengajian.
Insiden tersebut berlaku sekitar 5 petang pada 4 April, apabila sekumpulan pelatih dari Institut Pendidikan Guru Perlis berdepan kesukaran semasa sesi latihan berkayak di Pantai Merdeka, Kedah.
Beberapa kayak terbalik, menyebabkan peserta terjatuh ke laut.
Walaupun sebahagian berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital, dua pelatih terkorban.
Mangsa yang terkorban ialah Joey Ling dari Sibu dan Christopher Ling, 21 tahun, dari Kuching.
Mayat kedua-duanya sebelum ini dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Jasad mendiang diterbangkan dari Alor Setar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi sebelum dibawa pulang ke Sarawak.
Setibanya di Sibu, Joey Ling dibawa ke Rumah Mayat Bukit Lima bagi ahli keluarga dan rakan-rakan akan memberikan penghormatan terakhir.
Upacara pengebumian dijadualkan pada 9 April (Khamis).


