BINTULU: Kerjasama erat antara guru dan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi memastikan usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing dapat direalisasikan secara berkesan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Beliau berkata, pembentukan masa depan anak-anak bukan tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama antara institusi pendidikan dan keluarga dalam membimbing perkembangan akademik serta sahsiah mereka.

Menurutnya, hubungan yang baik antara guru dan ibu bapa mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif dan kondusif, sekali gus membantu kanak-kanak mencapai potensi terbaik mereka.
“Apabila sekolah dan keluarga bergerak seiring, anak-anak akan membesar dengan lebih yakin, ceria dan mampu mencapai potensi terbaik mereka,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru dan Hari Ibu Bapa Tadika Bandar Jaya yang bertemakan ‘Berganding Tangan, Membesar dengan Kesyukuran’ pada Ahad.
Menurut beliau, ibu bapa merupakan pendidik pertama yang membentuk asas nilai, disiplin dan kasih sayang dalam kehidupan anak-anak, manakala guru pula memainkan peranan penting meneruskan proses pembelajaran serta pembentukan sahsiah di sekolah.
Sehubungan itu, katanya, kedua-dua pihak perlu terus berganding bahu bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat sokongan yang menyeluruh sepanjang proses pembesaran dan pendidikan mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi serta komitmen berterusan dalam mendidik generasi muda, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah pembentukan karakter dan nilai murni.
Menurutnya, peranan guru pada masa kini semakin mencabar kerana mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut membimbing murid membina jati diri serta mengamalkan nilai seperti hormat-menghormati, tanggungjawab dan kerjasama.
Dalam pada itu, beliau menggesa ibu bapa agar terus menjalin hubungan yang baik dengan pihak sekolah dan mengambil bahagian secara aktif dalam perkembangan pendidikan anak-anak.
Katanya, penglibatan ibu bapa dalam pendidikan mampu memberikan motivasi tambahan kepada anak-anak, selain membantu pihak sekolah mengenal pasti keperluan serta potensi setiap murid.
Beliau turut menasihati kanak-kanak supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru, rajin menuntut ilmu serta mengamalkan sikap berbudi bahasa dalam kehidupan seharian.
“Jika kamu terus berusaha sedikit demi sedikit setiap hari, saya yakin kamu akan menjadi insan yang berjaya, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.
Johnny berharap semangat kerjasama yang terjalin antara guru dan ibu bapa dapat terus diperkasakan demi memastikan generasi masa depan membesar dalam suasana yang harmoni, seimbang dan berkualiti.



