
KUCHING: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan mencipta logo dan slogan anjuran Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKDCA).
Jurucakap penganjurnya berkata, penyertaan bagi pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai itu adalah percuma dan terbuka kepada semua penduduk Sarawak.
Sehubungan itu katanya, semua reka bentuk dan slogan mesti idea asli. Manakala, kaedah ciptaan adalah bebas iaitu sama ada menggunakan cara lakaran tangan atau secara digital.
“Ciptaan logo mesti menarik dan futuristik, sementara slogan pula hendaklah ditulis dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Bagaimanapun, penggunaan warna terhad kepada kombinasi warna merah, hitam dan kuning sahaja.
“Logo dan slogan yang diterima akan menjadi hak milik penuh GKCDA dan penganjur boleh meminda atau mengubah suai jika perlu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dalam pada itu ujarnya, pemenang akan menerima hadiah tunai berserta sijil penyertaan iaitu, pertama RM2,500 dan tiga pemenang sagu hati masing-masing membawa pulang RM200.
Setiap penyertaan hendaklah dikemukakan kepada Urus setia Pertandingan Mencipta Logo dan Slogan melalui alamat e-mel Nur Juraniza Bujang, njuranizab@sarawak.gov.my.
Untuk rekod, GKCDA ditubuhkan secara rasmi pada 29 September 2022 untuk memberi fokus kepada pembangunan di kawasan pedalaman Bahagian Kuching dan Serian yang kebanyakan penduduknya adalah kaum Bidayuh merangkumi sembilan kawasan DUN termasuk Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.




