KUCHING: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menambah satu pingat emas kepada tuan rumah menerusi acara lontar peluru dengan catatan jarak 17.59 meter.
Beliau menewaskan wakil Sabah, Earl Isaac Mitzler Fredolin yang sekadar berpuas hati menduduki tangga kedua dengan lontaran 14.74 meter, diikuti wakil Sarawak, Muhammad Irsyad Irzalhazir Matali di tempat ketiga dengan lontaran 12.80 meter.
Jonah, yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 18.66 meter mengakui beliau sekadar memberi sokongan terhadap penganjuran sukan tersebut.
Beliau sambil itu menyifatkan pembabitannya dalam kejohanan kali ini sebagai pemanas badan sebelum menjalani latihan persediaan Sukan SEA yang akan berlangsung di Thailand.
“Pertandingan ini lebih kepada untuk berseronok, gembira, dan memberi sokongan kepada acara (Sukan Borneo) ini. Saya datang sekadar untuk menguji diri, melihat sama ada saya masih mampu mengekalkan prestasi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jonah berharap kejohanan seperti ini mendapat sokongan lebih ramai dalam kalangan atlet senior.
“Acara ini bagus kerana menunjukkan Borneo masih mempunyai bakat dan kita tidak ketinggalan. Ia juga memberi inspirasi kepada golongan muda di kampung supaya mereka tahu apa yang boleh dicapai,”katanya.





