BINTANGOR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerima sebanyak 436 permohonan untuk membantu membina semula rumah panjang dan rumah individu yang musnah akibat kebakaran sejak 2020.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, permohonan bernilai RM130.8 juta itu untuk membina sebanyak 2,041 unit rumah secara keseluruhan.
“Daripada jumlah itu sebanyak 131 projek yang terdiri daripada 675 unit dan menelan belanja RM43.642 juta telah berjaya dilaksanakan,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata demikian sselepas mengadakan lawatan ke Rumah Labang Jawa di Sungai Tulai di sini, semalam.
Rumah panjang 43 pintu itu dibina semula oleh kerajaan selepas musnah dalam kebakaran pada Julai 2017.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak 101 lagi projek berjumlah 683 unit dan menelan belanja RM45.7 juta sedang dalam proses pembinaan.
“JPBN juga menerima sebanyak 204 permohonan baharu yang terdiri daripada 683 unit bernilai RM41.4 juta,” tambahnya.





