BINTULU: Sebanyak 85 kenderaan perdagangan pelbagai jenis diperiksa dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui Unit Operasi JPJ Cawangan Bintulu di sekitar bandar ini pada Isnin.
Operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta aspek keselamatan kenderaan perdagangan sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan oleh pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan. Antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, membawa muatan secara berbahaya serta melanggar syarat permit yang ditetapkan.
Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas semua kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya membabitkan kenderaan perdagangan yang beroperasi di jalan raya.
Menurut kenyataan itu, pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan diingatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi syarat permit serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Ops berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ Sarawak dalam membendung pelanggaran peraturan jalan raya dan memastikan sektor pengangkutan perdagangan beroperasi mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.


