SARIKEI: Bagi mengimarahkan suasana pada bulan Ramadan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei menerusi Surau Darul Furqan JPJ Sarikei telah mengagihkan sebanyak 500 bungkus bubur lambuk kepada pelanggan JPJ Sarikei, masjid serta surau-surau sekitar bandar berkenaan sebentar tadi.
Program santai penuh bermakna itu dianjurkan dengan kerjasama YADIM Sarawak dan Kelab Sukan Rekreasi JPJ Sarikei.
Majlis agihan bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Cawangan JPJ Sarikei, Puan Nurul Fairezzah Safri dan Ramzi Razak yang mewakili YADIM Sarawak.
“Program ini selain bertujuan mengimarahkan suasana pada bulan yang mulia, kita berharap ia mampu menjadi landasan terbaik dalam merapatkan hubungan silaturahim antara semua pihak,” ujar Fairezzah ketika mengulas mengenai program berkenaan.
Terdahulu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak berkenaan kerana berjaya mengelola program seumpama itu.
Beliau berharap pelaksanaan sama bagi program tersebut pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Fairezzah yakin melalui penganjuran tersebut dapat meningkatkan ukhuwah antara satu sama lain.






