KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mengumumkan kebenaran lawatan keluarga kepada penghuni penjara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 pada hari keempat dan kelima perayaan itu.
Menurut kenyataan media JPM, lawatan tersebut melibatkan semua institusi penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.
Waktu lawatan ditetapkan bermula 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
Manakala perjumpaan secara dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Mac ini.
“Ini bertujuan memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk mengadakan perjumpaan bersemuka,” katanya.
Bagi lawatan secara bersemuka, beberapa syarat perlu dipatuhi termasuk pelawat hendaklah membawa kad pengenalan dan tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman kepada penghuni. Makanan boleh dibeli di kantin penjara.
Syarat lain ialah penghuni beragama Islam akan diberikan keutamaan dan pelawat tidak dibenarkan memberikan wang kepada penghuni.
Bagi urusan pembayaran yuran peperiksaan, pelawat diminta mendapatkan resit rasmi sebagai akuan penerimaan.


