KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah mengenal pasti sebuah sekolah menengah di Padawan yang terlibat dalam kes buli membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pelajar yang terlibat.
“JPN Sarawak juga telah mengarahkan pihak sekolah supaya mengikut garis panduan bagi menangani isu buli dan salah laku disiplin di semua sekolah di negeri ini.
“Selain itu, JPN Sarawak bersama Pejabat Pendidikan Daerah Padawan akan melawat sekolah tersebut sebaik menerima maklumat lengkap bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menambah, sekiranya pihak sekolah berusaha menutup kes ini daripada pengetahuan jabatan, tindakan tegas dan segera akan diambil.
Terdahulu, Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo mengesahkan bahawa beliau telah menerima aduan berhubung kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan baru-baru ini.
“Mangsa dibuli oleh dua pelajar lelaki sekelasnya berumur 13 tahun. Kedua-dua pelajar terbabit telah melemparkan batu dan mengugut mangsa dengan kata-kata berunsur serangan seksual serta ugutan menikam sebanyak 300 kali seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan pihak sekolah telah mengambil tindakan tatatertib dengan menggantung kedua-dua pelajar terbabit selama tiga hari.
“Kejadian berlaku dalam kelas apabila kedua-dua pelajar terbabit mengaibkan dan mengancam mangsa secara fizikal dan lisan. Mangsa melaporkan kejadian tersebut kepada guru pada hari sama selepas mengalami tekanan emosi yang serius,” katanya.
Milton menambah, ibu bapa mangsa turut memaklumkan bahawa anak mereka kelihatan terganggu dan menggigil selepas pulang dari sekolah.
Katanya, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat bersama ibu bapa pelajar terbabit dengan kehadiran pegawai polis.
“Selain penggantungan, salah seorang pelajar terbabit juga telah dipindahkan ke kelas lain bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Ibu bapa mangsa memutuskan untuk melanjutkan cuti sekolah anak mereka sehingga Khamis depan bagi membolehkan mangsa menerima kaunseling psikologi.”
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.
Katanya, siasatan masih berjalan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang diperkenalkan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan mula berkuat kuasa pada 11 Julai 2025 adalah undang-undang khusus untuk menangani kesalahan buli termasuk buli siber.
Hukuman di bawah seksyen ini ialah penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.





