KUCHING: Delegasi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli di pejabat beliau, semalam.
Rombongan FAS diketuai oleh Naib Presiden, Khairulddin Qalam Daud merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Akar Umbi (JKTPAU).
“Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh hubungan serta kerjasama dua hala (FAS dan JPNS) dalam usaha meningkatkan pembangunan bola sepak di peringkat sekolah seluruh Sarawak,” ujar Qalam.
Beliau akui, antara perkara lain yang turut dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam pembangunan bidang kejurulatihan dalam kalangan guru serta usaha memperkasa pembangunan bakat pemain muda melalui platform sekolah.
Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan melalui kerjasama strategik antara persatuan dengan institusi pendidikan.
Pertemuan tersebut diakhiri dengan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk meneroka beberapa program kerjasama yang berpotensi memberi manfaat kepada pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi di Sarawak.



