Jual elektrik kepada Sabah dan Brunei

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang mengadakan perbincangan dengan Sabah dan Brunei untuk penjualan bekalan elektrik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata rundingan kini menjurus kepada persetujuan harga.

“Mereka mahu harga yang lebih rendah dari kita…saya kata tidak boleh, jika Sarawak membayar banyak, mereka juga harus membayar jumlah yang sama, tidak boleh lebih rendah dari kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Gawai Raya SEB bersama Ketua Menteri di Menara SEB, di sini hari ini.

Hadir sama isteri Abang Johari, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili dan Ketua Gawai Raya SEB Sipol Ambun.

Menurut Abang Johari, sekiranya persetujuan dapat dicapai bagi penjualan bekalan elektrik kepada Sabah dan Brunei, ia akan menambahkan lagi jumlah pelanggan dari luar Sarawak.

Katanya setakat ini, SEB sudah membekalkan elektrik kepada Kalimantan, Indonesia.

Justeru, Abang Johari berkata kerajaan turut mengintai Jakarta, yang dilihat berpotensi membeli bekalan elektrik Sarawak.

“Ada kedengaran tentang modal baru dari Jakarta.

“Kalau Indonesia membuat keputusan mahukan lebih tenaga elektrik, maka kita dapat saling bekerjasama dan potensinya ada di situ untuk kita memperluaskan pasaran bekalan elektrik di Borneo pada masa depan,” katanya.

Buat masa ini, SEB mengendalikan Empangan Hidroelektrik Bakun berkapasiti 2,400 MegaWatt (MW), Empangan Hidroelektrik Murum berkuasa 944MW dan Empangan Hidroelektrik Batang Ai berkuasa 100MW, selain menguruskan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh yang berkuasa 1,285MW.

Abang Johari (tengah) bersama Sipol (kiri) dan Rundi (dua kanan) menggulung tikar sebagai simbolik Sambutan Gawai Raya SEB di Menara SEB, hari ini.

Suara Sarawak