Jual hasil laut dalam talian dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Nekmatbiz.com.my, laman sesawang menjual hasil laut yang baru dibangunkan untuk memperluaskan lagi penjualan hasil laut nelayan secara terus kepada pengguna, menerima sambutan yang menggalakkan.

Walaupun mula beroperasi sejak Julai tahun lepas, nilai jualan pada Disember mencatat kira-kira RM18,000 yang melibatkan hasil laut sebanyak 900 kilogram (kg), kata Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Azrin Shah Ismail kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang ditemui di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Nekmat di sini, berkata perniagaan di nekmatbiz.com.my, yang dibangunkan oleh persatuan itu dengan bantuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) , telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada pelanggan di Lembah Klang.

“Pelanggan bandar yang mempunyai kekangan masa untuk ke pasar telah memilih perkhidmatan dalam talian Nekmatbiz, yang memberi pilihan hasil laut yang pelbagai dengan produk segar dan berkualiti, serta dihantar pada hari yang sama hasil laut ditangkap,” katanya.

Beliau berkata kemampuan pihaknya menawarkan hasil laut yang segar adalah kerana mempunyai rangkaian nelayan di seluruh negara.

Azrin berkata permintaan terhadap hasil laut dalam talian itu mula menunjukkan peningkatan sejak November lepas dengan mencatat jualan sebanyak RM10,000 melibatkan hasil laut berjumlah 500kg.

Beliau berkata penjualan ikan secara terus dari nelayan ke pengguna telah membantu meningkatkan pendapatan nelayan sebanyak 15 hingga 20 peratus, berbanding menjual hasil tangkapan kepada peraih.

Menurut beliau, keuntungan yang diraih persatuan itu melalui Nekmatbiz akan turut diagihkan secara dividen kepada ahli-ahli persatuan yang merupakan para nelayan.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Selangor Ahmad Mirwan Afandi berkata mereka amat berpuas hati dengan jualan ikan secara dalam talian itu kerana jualan hasil tangkapan mereka dapat diperluaskan berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada peraih dan pasar nelayan.

Beliau berkata keuntungan yang diterima melalui Nekmatbiz juga turut digunakan oleh persatuan bagi memberi latihan kepada ahli mengenai bidang perikanan serta digunakan untuk memberi bantuan kepada ahli yang memerlukan.