Jualan amal pakaian terpakai

KUCHING: Jualan amal pakaian terpakai (bundle) buat julung kali diadakan secara besar-besaran di Pasar Seni Jalan Haji Taha, semalam.

Menurut Pengasas Sukarelawan Jalanan Suria Adenan, sukarelawan jalanan diberi peluang dalam jualan amal pecah guni itu bagi mendapatkan dana untuk program yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan.

Menurutnya, pihaknya mendapat tajaan sepenuhnya daripada Wandy’s Bundle, Bundle for Ladies dan Sekai Bundle Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Kebajikan Rukun 13 Kuching, Exco Pemuda N8 Satok, Biro Ekonomi N8 Satok dan Pasar Seni Jalan Haji Taha.

“Pakaian terpakai yang diberi untuk jualan amal ini merupakan tanda sokongan daripada pihak penaja terhadap program yang dianjurkan oleh Sukarelawan Jalanan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambah Suria, sebanyak dua tan pakaian terpakai dijual bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Orang ramai berpeluang untuk beramal sambil membeli dengan membayar RM10 untuk setiap plastik,” tambahnya.

Jelasnya lagi, jualan amal pakaian terpakai itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya di kawasan Kuching.

Setakat jam 11 pagi, seramai 46 orang mengunjungi Pasar Seni dan jumlah terus meningkat hingga penghujung jualan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Rukun 13 Azmanni Mohamed dan Setiausaha Persatuan Kebajikan Rukun 13 Zulkifli Jariee turut hadir.