ARTIKEL

SIMBOLIK... Abdul Karim memalu gong sebagai simbolik perasmian Majlis Pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2026 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching, kelmarin.

Jualan tiket digital kini dibuka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Edisi ke-29 Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) kembali menggegarkan Sarawak pada 26 hingga 28 Jun ini, di Kampung Budaya Sarawak dengan menampilkan barisan artis legenda antarabangsa dan serantau.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah kelmarin mengumumkan tiga artis utama yang menghiasi pentas festival ikonik tersebut.

Menerajui barisan penghibur utama ialah ikon seni tanah air, Datuk M. Nasir yang dijadualkan membuka tirai persembahan pada 26 Jun ini.

“Beliau merupakan tokoh yang amat disegani dalam kapasiti sebagai penyanyi, komposer dan penerbit.

“Kehadiran beliau amat dinantikan bagi membawakan nukilan lirik puitis serta adunan elemen tradisional Melayu yang telah mencorak landskap muzik Malaysia selama lebih empat dekad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran RWMF 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), kelmarin.

Menyusul pada 27 Jun ialah kumpulan legenda funk dan soul dari Amerika Syarikat, The Commodores yang menampilkan pengasasnya Thomas McClary yang terkenal dengan lagu klasik seperti Easy dan Brick House.

Manakala bagi melengkapkan malam terakhir pada 28 Jun, kumpulan terkenal dunia, yang dipimpin Jean-Paul ‘Bluey’ Maunick, iaitu Incognito bakal memberikan pengalaman muzik imersif yang mencerminkan kepelbagaian budaya sejagat.

Menurut Abdul Karim, pemilihan barisan artis pada edisi kali ini melambangkan dinamisme muzik dunia yang menjadi teras kekuatan festival berkenaan sejak 1998.

“Kehadiran mereka di Bumi Kenyalang bukan sekadar hiburan, malah memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya utama di peringkat global,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jualan tiket digital kini dibuka secara rasmi menerusi platform TicketMelon dengan pengenalan sistem ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) bagi memberikan fleksibiliti kewangan kepada pengunjung.

Bagi fasa pembelian awal, harga tiket ditawarkan pada RM235 untuk pas satu hari bagi dewasa sehingga 31 Mac ini, manakala bagi kategori kanakkanak berumur empat hingga 12 tahun ditetapkan pada harga RM80 dan percuma bagi kanakkanak di bawah usia empat tahun.

Selain pengisian muzik, RWMF 2026 turut memberi penekanan terhadap agenda kelestarian alam sekitar melalui program EcoGreen Planet yang menyasarkan penanaman 10,000 pokok tahun ini.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Sarawak terhadap pengurusan acara yang bertanggungjawab dan hijau selari dengan piawaian antarabangsa ISO 20121.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STB Dr Sharzede Datu Salleh Askor dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Morshidi Fredrick.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU