KUCHING: Situasi banjir di Sarawak terus mencatatkan peningkatan bilangan mangsa dengan seramai 425 mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini, manakala baki seramai 202 mangsa tanah runtuh berlindung di tiga PPS.
“Beberapa bahagian di Sarawak, khususnya di Bahagian Sibu dan Bahagian Kapit, terjejas teruk akibat hujan lebat yang berterusan, menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.
“Di Sibu, PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya masih menempatkan sebuah keluarga dengan tujuh mangsa, dan keadaan di tempat ini kekal tanpa perubahan sejak dibuka semalam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, di Dewan Kompleks Sukan Kanowit, bilangan KIR dan mangsa telah meningkat dengan mendadak.
“Kini, tempat ini menampung 34 keluarga dan 100 mangsa banjir, menunjukkan situasi yang semakin kritikal.
“Di Kapit, keadaan banjir turut semakin memburuk. Di PPS Asrama Belia Kapit kini menempatkan 17 keluarga dengan 79 mangsa.
“PPS Balai Raya Song juga menunjukkan peningkatan mendadak dengan 60 keluarga dan 201 mangsa yang terpaksa dipindahkan ke PPS tersebut,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, PPS Dewan Suarah Kapit kekal menempatkan 21 keluarga dengan 38 mangsa tanpa perubahan yang signifikan.
Secara keseluruhannya, sebanyak lima PPS telah dibuka untuk menampung mangsa banjir di Sarawak dengan jumlah keluarga yang terlibat adalah sebanyak 133.
Di Sibu, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Kampung Bahagia Jaya, dan Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya telah dijadikan sebagai PPS.
“Seramai 10 keluarga dengan 43 orang mangsa telah dipindahkan, dan keadaan ini masih kekal tanpa perubahan.
“PPS Dewan Kampung Sukan, Miri turut menempatkan 11 keluarha dengan 40 mangsa akibat tanah runtuh, dan keadaan di sini juga kekal tanpa sebarang perubahan.
“Selain itu, kejadian kebakaran dilaporkan di Bintulu. Gereja St Benard Rh Lapie telah dijadikan PPS bagi menempatkan 27 keluarga dengan seramai 146 mangsa telah dipindahkan ke tempat ini,” katanya.



