MIRI: Khidmat Penolong Pegawai Perubatan (PPP) kini memerlukan penambahan kerana mereka merupakan peneraju bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang baik buat masyarakat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkara tersebut sejajar dengan dasar kesihatan negara yang ingin melihat masyarakat sentiasa sihat tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

“Kita sudah sedia maklum tentang pertambahan bilangan hospital dan juga penaiktarafan klinik daripada Klinik Desa atau Klinik Komuniti kepada status Klinik Kesihatan (KK).
“Keadaan seperti ini akan memerlukan lebih ramai tenaga PPP untuk memberikan perkhidmatan bagi memastikan sistem pembangunan kesihatan dapat terus berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Selain daripada KK yang terletak di kawasan pedalaman khususnya, PPP juga diperlukan di peringkat hospital kerana mereka memainkan peranan penting dalam klinik pakar, dewan bedah, wad kecemasan dan sebagainya.
“Justeru, tenaga kerja seperti mereka amatlah diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari PPP Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini hari ini.
Dr Sim, yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata PPP juga merupakan salah satu anggota barisan hadapan yang menghadapi krisis yang melanda negara, terutamanya di Sarawak.
“Semenjak akhir-akhir ini, dunia sering dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit sehingga menyebabkan peningkatan angka kematian.
“Oleh itu, masalah sedemikian amat memerlukan penglibatan semua pihak yang bernaung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuklah PPP.
“Mereka secara tidak langsung terlibat dalam pencegahan penularan penyakit dengan menjadi salah satu penyampai maklumat kepada masyarakat setempat.
“Selain itu, dalam menghadapi wabak seperti COVID-19 dan H1N1, PPP telah banyak memainkan peranan seperti mengambil sampel, menjaga pusat kuarantin, pintu masuk antarabangsa di sempadan negara, dan juga membantu dalam pemberian rawatan,” jelasnya.
Sementara itu, Lee mencadangkan agar KKM menjalankan kajian bagi mewujudkan satu skim perkhidmatan yang memberi peluang kepada PPP yang layak dan berpotensi untuk melanjutkan pelajaran menjadi doktor.
Jelasnya, ini kerana pengalaman praktikal yang mereka miliki boleh membantu mereka apabila diberi peluang melanjutkan pelajaran.





