KUCHING: Fesyen jalanan menjadi medium generasi muda mengekspresikan identiti dan membina keyakinan diri menerusi Junior Model Search 2026 anjuran RAZZ Couture dengan kerjasama JUH Shopping.
Berlangsung di pentas The Hills pada 3 Oktober, pertandingan sulung itu disertai 28 peserta dari pelbagai daerah di Sarawak, selain Johor dan Melaka.
Pengasas RAZZ Couture, Razie Ali atau lebih dikenali sebagai Razz berkata, pertandingan itu bukan sekadar mengetengahkan penampilan, sebaliknya memberi penekanan terhadap keyakinan diri, pengenalan produk tempatan serta nilai budaya dan kesopanan.



Peserta turut diberi pendedahan mengenai kemahiran komunikasi, disiplin masa, etika dan tanggungjawab menerusi latihan serta sesi peragaan.
Aspek penilaian bukan hanya tertumpu kepada penampilan, sebaliknya turut merangkumi keyakinan diri, gaya, komunikasi, sikap, disiplin dan keupayaan peserta melaksanakan tugasan yang diberikan.


Bagi memastikan penyertaan tidak menjejaskan pendidikan, Razie berkata latihan diadakan pada hujung minggu atau waktu petang yang tidak mengganggu persekolahan dan waktu rehat, dengan ibu bapa turut terlibat dalam penyusunan jadual peserta.
Aspek keselamatan, perlindungan dan privasi peserta bawah umur turut diberi keutamaan, termasuk kehadiran penjaga sepanjang latihan dan acara serta kebenaran bertulis sebelum gambar atau rakaman peserta disiarkan.



Beliau berkata, peserta yang menunjukkan potensi berpeluang disenaraikan sebagai wajah duta muda bagi acara rakan strategik, selain berpeluang terbabit dalam acara fesyen, pengiklanan dan media tempatan.
“Untuk jangka panjang, kami mahu Junior Model Search berkembang daripada pertandingan tahunan kepada platform pembangunan bakat secara berterusan.


“Kami berharap dapat melahirkan generasi muda Sarawak yang mempunyai identiti, akhlak dan daya saing untuk diketengahkan dalam industri fesyen, peragaan dan komunikasi,” katanya.
Kemuncak pertandingan menyaksikan Nur Zaskia Mikhayla Mohamad Zakaria dinobatkan sebagai juara Kategori A (5 hingga 9 tahun), diikuti Nur Dini Aiman di tempat kedua dan Siti Nur Alina Alisya Mohamad Naimiqhail di tempat ketiga.

Bagi Kategori B (10 hingga 15 tahun), Nurqistina Batrisyia Samsudin muncul juara, manakala Nur Dini Arsyad dan Mettachan Yu Mei Yi masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Junior Model Search 2026 turut mendapat sokongan The Hills, JUH Shopping, ALTHEA Collection dan Fly Fly Management.



