MIRI: Kesedaran terhadap kepentingan tenaga lestari terus diperkasa menerusi penganjuran IEM Energy Month 2025 yang menghimpunkan jurutera, pelajar, pemimpin industri dan pembuat dasar bagi memperkukuh inovasi serta tindakan profesional dalam sektor tenaga negara.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, program anjuran The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Miri bersama IEM Young Engineers Section (YES) Miri itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan campuran tenaga lebih seimbang dan mesra alam.
“IEM Energy Month bukan sekadar sambutan, tetapi seruan untuk bertindak. Ia menyatukan semua pemegang taruh tenaga dalam membentuk landskap tenaga lebih mampan dan inovatif,” ujarnya ketika merasmikan program itu secara maya, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang Mei ini, pelbagai seminar teknikal dan lawatan industri akan dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pendekatan masa depan dalam tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga.
Antara topik utama yang diketengahkan ialah tenaga lautan, hidrogen, suria, biojisim dan pengurusan tenaga — yang semuanya penting dalam membentuk sistem tenaga lebih cekap dan berdaya tahan.






