SEKITAR 25 tahun lalu, penulis pernah menghadiri program kepimpinan belia, yang menghimpunkan lebih 60 pemimpin belia seluruh negara.
Dalam latihan yang berlangsung sekitar 10 hari ini, pelbagai pendedahan diberikan, termasuk latihan berasaskan disiplin ketenteraan.
Ketika latihan intensif seperti itu, fizikal dan mental kita diuji. ntara ujian yang dilaksanakan termasuklah “memilih pemimpin”.
Diringkaskan, selepas sesi pemilihan dan pengundian pemimpin secara kumpulan yang dilakukan, kami diarahkan untuk menjalani aktiviti survival di dalam hutan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut.
Ketika itu hujan lebat, dan waktu menghampiri jam 8.00 malam.
Kesemua peserta telah menaiki bas masing-masing, sebelum seorang peserta wanita tiba-tiba enggan keluar baris, mengikuti apa yang peserta lain lakukan.
Dia enggan berganjak, walaupun ketika itu kami basah kuyup dan lenjun – menunggunya.
Kerana dia tidak naik, kami pun tidak naik dan bas yang sepatutnya berlepas, terhalang.
Butiran katanya ketika itu tidak jelas.
Kami cuba memujuk, namun tetap degil.
Rupa-rupanya dia marah kerana tidak “dipilih” sebagai ketua dan mengetuai kumpulan.
Setelah segala yang terbuku di hati terdedah, dia menangis.
Akibatnya, ramai kalangan peserta terkejut dan mentertawakan insiden itu, hingga pihak urus setia terpaksa mengeluarkannya daripada latihan.
Ini sebenarnya merupakan salah satu sakit mental yang wujud daripada persekitaran.
Dan, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Benar, pesakit mental ada di sekeliling kita, termasuk dalam kalangan yang kita sangkakan sihat.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit mental merupakan istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit mental yang boleh berbeza dari segi tahap keseriusannya, jangka masa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian.
Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulangulang di sepanjang hayat seseorang.
Kebanyakan penghidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan. Lebih dari itu, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golangan kanak-kanak.
Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental.
Kini KKM telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental.
UNICEF turut merekodkan 12.3 peratus remaja 10-17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 pula, terdapat 4.6 peratus (1 juta orang) penduduk Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas telah mengalami kemurungan, dan bilangan ini telah meningkat sebanyak 2 kali ganda dari tahun 2019 ke 2023.
Untuk menangani mereka yang mental ini, terutamanya kanak-kanak dan remaja, individu bernama Ellisha Othman ini ada idea.
Ia dirawat dengan mengubah mereka yang ada di sekitar pesakit, terutamanya keluarga.
Itu perjuangan unik pengasas Thrive Well Sdn. Bhd. itu, yang tercetus setelah melihat adik ibunya didiagnosis menghidap schizophrenia, hingga akhirnya hilang pekerjaan.
Katanya, 20 tahun lalu, sokongan terhadap pesakit ini di kawasan luar bandar terutama di kawasan kelahirannya, Muar, amat terhad.
Namun apabila berada di Kuala Lumpur, beliau sedar bahawa jurang di antara Muar dan ibu negara itu tidaklah sebesar yang disangka dalam isu ini.
Kerana itu, Ellisha mengilhamkan projek Keluarga Akrab Mencapai Impian (K.A.M.I).
Projek ini memberi tumpuan kepada hubungan kekeluargaan, kerana hubungan keluarga yang sihat akan menjadi faktor pelindung penting bagi kesihatan mental remaja dan kanak-kanak secara umum.
Dilaksanakan bersama-sama Teach For Malaysia, program K.A.M.I telah menarik minat CIMB Islamic dan mereka bekerjasama melalui Program Safe Space di Taman Bukit Subang, Selangor.
Program ini, menyediakan sokongan kesihatan mental berasaskan komuniti untuk golongan belia dan ibu bapa melalui bengkel kesejahteraan emosi serta sokongan rakan sebaya.
K.A.M.I turut melantik duta-duta yang terdiri daripada golongan ibu dan remaja, yang bertindak sebagai ejen komuniti yang membantu menyalurkan sumber, pengetahuan dan kepakaran berkaitan kesihatan mental kepada keluarga yang memerlukan.
Kata Ellisha, K.A.M.I malah telah melaksanakan pelbagai program literasi kesihatan mental dalam komuniti dengan sokongan 15 duta.
Sejak 2021, inisiatif ini telah melahirkan 69 peserta dan memberi manfaat kepada lebih 500 keluarga.
Berdasarkan pengalaman dan kajian pihaknya, Ellisha mendapati banyak keluarga di Projek PPR masih berdepan stigma yang tinggi terhadap isu kesihatan mental.
“Ramai yang masih kurang memahami maksudnya.
Namun apabila maklumat itu disampaikan oleh individu yang mereka percayai, dengan sokongan perkhidmatan psikososial, mereka lebih bersedia untuk mendapatkan bantuan bagi diri dan keluarga mereka,” katanya.
Kata Ellisha lagi, mereka bersyukur kerana CIMB bukan sahaja memberikan sokongan kewangan, malah sokongan dari aspek pembangunan kapasiti.
“Mereka memberikan panduan tentang cara mengembangkan rangkaian kerja di lapangan, termasuk kerjasama dengan NGO, memperluas pelibatan para duta dalam program luar komuniti serta memperkukuhkan usaha advokasi.
Advokasi ini penting supaya masyarakat di luar kawasan PPR dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh penduduk di sana,” katanya.
Idea melaksanakan projek ini menurutnya, bermula apabila pihaknya menyedari masih terdapat stigma yang kuat terhadap isu kesihatan mental biarpun perkhidmatan kesihatan mental profesional telah tersedia wujud di hospital atau klinik.
“Apa yang diperlukan oleh masyarakat sebenarnya ialah kesedaran, pendidikan serta maklumat yang jelas tentang bila dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan,” dedahnya.
K.A.M.I mahu membawa apa yang biasanya berlaku dalam bilik terapi keluar ke dalam komuniti supaya ia lebih mudah diakses dan difahami oleh orang ramai.
Malah, K.A.M.I menyesuaikan pendekatan mengikut konteks budaya setiap komuniti kerana faktor sosial dan budaya sangat penting, termasuk bahasa, nilai dan cara hidup mereka.
Matlamatnya adalah untuk menjadikan masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan dan memahami isu kesihatan mental.
Masalah utamanya bukanlah tahap pendidikan atau kecerdasan, tetapi kekurangan kesedaran dan maklumat yang tepat.
Apabila masyarakat tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi, mereka lebih mudah mempunyai prasangka dan salah tanggap terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat, tetapi juga keluarga mereka.
Oleh itu, keluarga merupakan faktor yang sangat penting dalam membantu seseorang menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan bermaruah.
Kata Ellisha, setiap orang akan berdepan dengan cabaran dalam hidup.
Tekanan kerja, masalah keluarga, konflik kejiranan, kesesakan lalu lintas atau bencana seperti banjir semuanya boleh menjadi sumber tekanan.
Dan, tekanan ini berpotensi untuk mencetuskan isu kesihatan mental.
“Kerana itu, di Thrive Well, kami memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan individu dengan pengetahuan, teknik, kemahiran dan fakta yang boleh membantu mereka mencegah masalah kesihatan mental daripada menjadi lebih serius,” ujarnya.
Sokongan di Lembah Klang ketika ini katanya, amat menggalakkan kerana tahap kesedaran semakin tinggi. Namun di luar bandar, masih terdapat jurang yang perlu ditangani.
“Kami telah mula bekerjasama dengan rakanrakan strategik lain, termasuk Women of Will di Kedah, sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan program ke luar Kuala Lumpur.
Malah mungkin akan memperluaskannya ke Borneo,” tambahnya lagi.
Namun sebelum memasuki sesuatu kawasan, Thrive Well perlu menjalankan penilaian yang teliti, termasuk kajian kebolehlaksanaan dan mengenal pasti sistem sokongan sedia ada dalam komuniti tersebut.
Malah perlu untuk dipastikan rakanrakan tempatan yang mampu menyokong pelaksanaan program ini secara berterusan.
K.A.M.I kata Ellisha, dilaksanakan menerusi tiga cabang utama iaitu perkhidmatan pakar kesihatan mental, termasuk terapi individu, terapi keluarga dan penilaian psikologi.
Ia juga menjayakan program untuk organisasi dan syarikat, dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia dan Keselamatan Pekerjaan bagi menyokong kesejahteraan pekerja.
Turut diadakan program sekolah dan komuniti, yang melibatkan guru, ibu bapa dan keluarga.
Dalam setiap komuniti, sekolah atau organisasi, katanya, K.AM.I sentiasa mencari individu yang boleh menjadi “champion” atau penggerak perubahan.
Dalam komuniti, mereka ialah duta K.A.M.I manakala di sekolah mungkin ibu bapa atau guru sementara dalam organisasi pula mungkin kakitangan yang berpengaruh.
Dalam menghadapi isu ini jelasnya lagi, elemen kepercayaan adalah kunci utama.
Dalam masyarakat Asia, kebanyakan orang lebih selesa bercakap dengan seseorang yang mereka kenali terlebih dahulu sebelum mendapatkan bantuan profesional.
Oleh itu, membina kepercayaan mesti didahulukan.
Selepas itu barulah pendidikan, pengetahuan dan kemahiran dapat disampaikan dengan berkesan bagi membina daya tahan jangka panjang.
Tanpa kepercayaan, sukar untuk mewujudkan perubahan yang berkekalan.
Pada akhirnya, kesihatan mental banyak berkisar tentang membina kepercayaan, sebelum membina ketahanan diri dan komuniti, tambahnya lagi yang juga seorang ahli psikologi klinikal.



