LUNDU: Pasukan kabaddi lelaki Sarawak berjaya menempah tiket ke pusingan separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan A temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak, 2024, hari ini.
Skuad tuan rumah mendahului kumpulan tersebut dengan kutipan 94 mata, diikuti Selangor mengumpul 50 mata.
Sementara dalam saingan Kumpulan B, Perak muncul juara melalui kutipan 141 mata, manakala Wilayah Persekutuan memperoleh 80 mata.
Dalam perlawanan separuh akhir pagi esok, Sarawak bakal menentang Wilayah Persekutuan dan Perak bertemu Selangor bagi merebut slot ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang esok.
Terdahulu dalam pertandingan hari ini, pasukan tuan rumah terus mengekalkan momentum kemenangan apabila memperoleh 54-24, mendahului separuh masa pertama dengan 32-12 dan beroleh 22-12 pada separuh masa kedua.
Dalam pada itu, pasukan wanita Sarawak sekadar menduduki tempat kelima dalam saingan kumpulan.
Manakala pasukan Wilayah Persekutuan berjaya mengumpul sebanyak 92 mata untuk muncul juara, diikuti Selangor di kedudukan kedua meraih sejumlah 78 mata dan Kedah di tangga ketiga dengan 42 mata.
Dalam saingan hari ini, pasukan wanita tuan rumah berjaya menewaskan Pulau Pinang dengan 56-25, namun tewas menentang Wilayah Persekutuan dengan 27-51.



