ARTIKEL

Datuk Gerawat Gala. -Gambar fail

Kad Pekerja MADANI lonjak kesejahteraan tenaga kerja Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majikan dari pelbagai sektor perkhidmatan dan peruncitan di Sarawak digalakkan menyertai serta menjadi rakan strategik bagi menyokong pelaksanaan program Kad Pekerja MADANI demi kesejahteraan pekerja.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh kebajikan pekerja melalui penyampaian faedah yang lebih tersusun dan berimpak tinggi kepada anggota kesatuan sekerja berdaftar di seluruh negara.

“Kerajaan Sarawak menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan yang telah melancarkan Kad Pekerja MADANI sempena sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan pada 1 Mei 2025.

Program Kad Pekerja MADANI turut diperluaskan ke Sarawak, dan pada 27 September lalu, bertempat di UTC Sarawak, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja telah menganjurkan sesi taklimat yang melibatkan lebih 40 syarikat mewakili pelbagai sektor,” katanya ketika merasmikan Kolokium Pergerakan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama rapat dengan kesatuan sekerja dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi membantu para pekerja menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin kompleks termasuk kemunculan serta kebergantungan terhadap Kecerdasan Buatan (AI) dan ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia.

Menjelas lanjut, Gerawat berkata, usaha tersebut bagi memastikan pekerja di negeri ini mempunyai peluang meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri, selain memperoleh jaminan keselamatan sosial dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berubah serta mampu beradaptasi dengan keperluan semasa.

“Pada masa sama, kita akan terus komited memperjuangkan hak serta faedah pekerjaan yang lebih baik sebagaimana yang diperjuangkan oleh gerakan kesatuan sekerja selama ini,” katanya.

Gerawat turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh kerjasama dengan kesatuan sekerja agar dasar dan polisi yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira suara serta keperluan akar umbi pekerja.

Beliau menambah, kerajaan juga akan terus memastikan latihan dan program pembangunan modal insan dilaksanakan secara inklusif, khususnya bagi kumpulan yang kurang akses kepada peluang pembangunan, di samping memperkukuh perlindungan sosial dan keselamatan pekerjaan bagi semua lapisan tenaga kerja.

Gerawat bersama tetamu kehormat lain bergambar bersama wakil kesatuan sekerja yang menyertai Kolokium Pergerakan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di Kuching. – Foto Ghazali Bujang

BERITA LAIN

BERITA TERBARU