PERKAHWINAN bukan perkara mudah, apabila kita melangkah ke alam perkahwinan, ia bermakna kita bersedia untuk berkongsi hidup dengan seseorang.
Sejauh manakah kita mampu bertahan dengan pasangan hidup kita?
Apakah tujuan perkahwinan itu?
Hanya sekadar syarat melangkah ke alam dewasa?
Jika dahulu ramai percaya bahawa, tugas suami mencari nafkah keluarga, manakala tugas isteri menguruskan hal rumah tangga di rumah.
Tidak adil sekiranya wanita kekal menguruskan rumah, anak dan terpaksa bekerja sedangkan lelaki lumrahnya tetap sama — mencari nafkah.
Bagi saya, perkahwinan ialah perkongsian dan perasaan.
Contohnya, jika pasangan saya berasa sedih, saya juga berasa sedih.
Kita sedia maklum bahawa, keadaan ekonomi tidak menentu dengan kos sara hidup meningkat dan tidak setimpal dengan bayaran gaji.
Oleh itu, ramai wanita memilih untuk bekerja dengan harapan dapat meringankan beban suami menanggung komitmen sedia ada.
TANGGUNGJAWAB
Disebabkan itu, sebelum berkahwin kenali pasangan anda, adakah dia seseorang yang mahu berkongsi segalanya atau tidak?
Kerana berkongsi hidup dalam perkahwinan adalah untuk kekal selamanya.
Dalam perkahwinan atau mana-mana jenis perkongsian, lumrah pasangan bergantung satu sama lain dalam pelbagai situasi.
Faktor kewangan menjadi salah satu kebergantungan lazim dalam perkahwinan dan ia boleh berlaku dua hala — sama ada suami bergantung kepada isteri atau sebaliknya.
Jika kebergantungan itu hanya satu pihak dan suami tidak menyumbang secara sama rata, ia boleh mencipta ketidakseimbangan kuasa dan menyebabkan masalah seperti tidak puas hati, tidak selamat dan penyalahgunaan kuasa.
Penting bagi pasangan untuk komunikasi dan jujur tentang keadaan kewangan mereka.
Ia boleh membantu dalam penetapan matlamat, merangka bajet dan berkongsi tanggungjawab.
Pada akhirnya, kunci kebahagiaan dan kejayaan perkahwinan ialah saling menghormati, percaya dan memberi sokongan.
Jika kedua-dua pasangan komited dan bekerjasama untuk mengatasi cabaran, mereka boleh mencipta ikatan lebih kuat dan kekal.
Pokok pangkalnya terpulang atas pendirian masing-masing, belajar mengurus hal rumah tangga anda sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Berbincanglah sebaikbaiknya dengan pasangan supaya dia tahu peranan dan lumrah isteri atau suami.
Situasi suami isteri zaman nenek moyang itu mungkin tidak dapat diguna pakai pada zaman kini.
Kebanyakan kita beranggapan lelaki sudah kahwin untung kerana ada isteri yang sentiasa melayaninya.
Namun, anda jangan lupa isteri juga manusia dan mahu dilayan setimpal dengan apa-apa yang diberikan.
Justeru, tolak ansur dan komunikasi menjadi prinsip utama yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan.




