KUCHING: Kementerian Pengangkutan Malaysia telah membuka tender bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Kereta Api Trans Borneo pada Mac lalu dan sedang dalam proses penilaian tender.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kajian tersebut akan bermula selepas Surat Anugerah (LOA) dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Kajian ini dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dan bertujuan menilai serta mengenal pasti model kereta api yang berpotensi untuk dilaksanakan di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kementeriannya merupakan salah satu ahli Jawatankuasa Teknikal bagi kajian kebolehlaksanaan Kereta Api Trans Borneo.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Kim Shin berkata skop kajian kebolehlaksanaan ini meliputi penilaian faktor-faktor seperti pilihan laluan dan stesen, anggaran kos, pembangunan mampan, kesan alam sekitar serta potensi manfaat sosioekonomi kepada Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei.






