PELAKON terkenal Bollywood, Kajol, barubaru ini mengundang emosi ramai apabila mendedahkan kisah masa kecilnya yang penuh kasih sayang dan keberanian.
Dalam satu wawancara bersama The Lallantop, Kajol berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika dia nekad melarikan diri dari sekolah asrama demi melawat nenek buyutnya yang sedang sakit tenat.
Kajol yang ketika itu baru berusia 11 tahun, sedang bersekolah di sebuah asrama di Panchgani, lima jam dari Mumbai.
Apabila mendapat tahu tentang keadaan nenek buyutnya yang semakin tenat, beliau segera menghubungi ibunya, pelakon legenda, Tanuja.
Namun, permintaan untuk pulang ditolak kerana beliau sedang menghadapi peperiksaan.
Tidak sanggup membiarkan perasaan sedih dan bimbang, Kajol bersama seorang rakan mengambil keputusan nekad untuk lari dari asrama. Mereka merancang perjalanan ke Mumbai dengan alasan palsu kepada penjaga tempatan bahawa ibunya meminta beliau pulang segera.
“Saya tunggu di dalam bas, tapi tibatiba para warden datang, tarik telinga saya dan bawa saya balik ke sekolah,” ujar Kajol sambil ketawa mengenangkan detik ‘nakal’ itu.
Walaupun dimarahi, pengalaman tersebut tetap kekal sebagai kenangan berharga buat dirinya.
Kajol turut berkongsi bahawa hidup bersama empat generasi wanita, dari nenek buyut hingga dirinya, membentuk ikatan kekeluargaan yang sangat kuat dalam hidupnya.
Kehidupan sebegitu, katanya, sangat memberi kesan dalam membina keperibadian dan emosi dirinya sebagai seorang wanita.
Di sebalik kisah lucu dan emosional itu, Kajol berkata pengalaman di sekolah asrama banyak mengajarnya tentang erti berdikari, nilai kehidupan dan cara menyesuaikan diri dalam masyarakat.
Malah, beliau menjadi penyokong kuat sistem pendidikan di asrama.
Disebabkan pengalaman positif itu, Kajol turut menghantar anak perempuannya, Nysa, ke sekolah asrama dan kini merancang untuk menghantar anak lelakinya, Yug, 14, ke sekolah yang sama.
“Di asrama, anak-anak belajar menghargai ibu bapa dan mudah bergaul dalam kehidupan sosial,” katanya.


