ARTIKEL

Kak Long Lily Yong yang menggelegak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lalu sepatutnya menjadi minggu penentu sama ada Datuk Lily Yong Lee Lee masih menjadi ahli parti politik tertua di Sarawak – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Namun pada 16 Mac lalu, Lily yang juga Pengerusi SUPP Kuching dan Setiausaha Cawangannya, Voong Nam Jin telah menerima notis pemecatan sebagai ahli yang berkuat kuasa pada 9 Mac 2026.

Ia adalah hasil siasatan lembaga disiplin parti berhubung kenyataan Lily dan cawangannya mengenai Kenyalang Gold Card (KGC) pada 3 Julai tahun lalu, yang dikatakan telah mengikis kredibiliti dan keyakinan umum terhadap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Lily dan cawangannya dikatakan gagal mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan mereka akan ketidakteraturan dalam program KGC.

Lily yang dikenali sebagai “kakak besar” atau “kak long” kini sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap kes tersebut, apatah lagi ramai dari dalam dan luar parti menasihatkan beliau untuk berbuat demikian.

“Saya sedang memikirkan sama ada ia masih signifikan untuk berbuat demikian.

Tetapi saya harus tegaskan bahawa saya sayangkan parti, dan oleh itu, saya akan mempertimbang dengan serius,” katanya kepada sebuah portal berita.

Sebenarnya, tidak mudah untuk Lily melepaskan peranan yang sudah sebati dengan dirinya itu.

Lily yang telah bersama SUPP selama lebih empat dekad, termasuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Padungan dari tahun 2001 hingga 2006.

Beliau memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri 2001 dengan menewaskan calon Parti Tindakan Rakyat (DAP) Chong Chieng Jen, dengan majoriti 1,033 undi.

Beliau bagaimanapun tewas pada 2006 kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dominique Ng, dengan majoriti 1,417 undi.

Meski kalah, wanita besi yang tidak pernah kenal erti kalah ini kekal aktif dalam politik, baik di peringkat pusat mahupun cawangan. Jika UMNO ada Tan Sri Rafidah Aziz, Lily ada versi beliau dalam SUPP.

Lily bukan sembarangan wanita.

Cantik, keras dan tegas, itulah perwatakan beliau sejak mengabdikan diri kepada parti kesayangannya itu.

Jiwa kental beliau diwarisi daripada bapanya, Yong Kian Sen yang terkenal sebagai pemilik ladang buaya terbesar di Kuching, Jong’s Crocodile Farm.

Bagi yang lahir sekitar tahun 1960-an di Kuching, mereka pasti mengenali kedai milik keluarga ini, “Fui Lip” yang menjual peralatan sukan, muzik dan alat tulis.

Fui Lip yang bermaksud “terbang dan kekal” pada mulanya beroperasi di sebuah rumah kedai di Jalan Khoo Hun Yeang sebelum beralih ke Jalan Song Thian Cheok, atau di premis yang dikenali sebagai Upwell Superstore, suatu ketika dahulu.

Tidak ramai yang tahu, Lily dan keluarganya pernah tinggal di kawasan Satok.

Malah rumah milik keluarga terletak berdekatan Sungai Bintangor, atau Lorong Ajibah Abol 13. Ketika beliau membesar, antara jirannya termasuklah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Jamil Johari dan bekas Pengarah Narkotik Bukit Aman yang juga bekas Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahab Abang Julai.

Justeru tidak hairanlah beliau begitu mesra dengan masyarakat Melayu di bandar raya ini. Beliau malah dikenali sebagai “Amoi” dan amat disukai penduduk sekitar, kerana keramahannya.

Lily menyertai politik kerana minatnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Sebelum itu, beliau dikenali kerana penyertaan aktifnya dalam aktiviti pergerakan wanita.

Pada 1977, bekas pelajar Sekolah Rendah Chung Hua No. 4 dan Sekolah Menengah Chung Hua No 2 (kini SMK Kuching High) ini telah menjadi Pengerusi Bahagian Mandarin, Perkumpulan Wanita (WI) Sarawak. Semuanya bermula apabila beliau diminta untuk menunjukkan kaedah pembuatan kek pada Mei 1971.

Lily sepatutnya meneruskan pembelajaran dalam jurusan kewartawanan di Australia selepas tamat sekolah menengah tetapi tidak mendapat lampu hijau daripada bapanya, kerana jarak yang jauh.

Ia amat mengecewakan namun ia tidak mengurang jiwa mudanya untuk mencari kebebasan dan mengembara.

Akhirnya, Lily bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang pada awalnya hampir dilanggarnya ketika memandu kereta.

Beliau membina cintanya dengan Francis Ong, seorang yang gemar aktiviti luar dan sukan, yang jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak.

Selepas WI, Lily mula dipelawa untuk menyertai pelbagai pertubuhan lain.

Antaranya menjadi Setiausaha Gereja Katolik, Padungan dan Persatuan Klan Tun Yang.

Penyertaannya dalam SUPP bermula pada 1978, apabila dipelawa oleh Chee Mei Si, salah seorang wanita yang menjadi penggerak parti itu pada waktu itu.

Tidak mudah untuk seorang isteri dan ibu menerima pelawaan ini, justeru beliau terpaksa meminta pandangan dan restu suami, bapa malah kedua-dua mentuanya.

Setelah penerimaan mereka positif barulah beliau menerima lamaran tersebut dan kemudiannya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita SUPP Pusat.

Pada 1983, SUPP Cawangan Kuching yang diketuai oleh Datuk Song Swee Guan telah menubuhkan Sayap Wanita. Lily diminta untuk menjadi pengerusi, dan memegang jawatan tersebut hingga tahun 2001.

Dalam parti, Lily bekerja dengan penuh dedikasi, terutamanya untuk memenangkan Datuk Song Swee Guan dalam Pilihan Raya Negeri 1983.

Sebelum itu, Padungan dikuasai oleh pembangkang, iaitu wakil rakyat Bebas, Tan Men Chong.

Pada 1985, Lily dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kuching, sebelum pada 1988 bertukar sebagai Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

Pada 1991 beliau menjadi wanita pertama SUPP yang dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Pada tahun 1997, nama Lily terus mencanak apabila dilantik sebagai Pengerusi Pergerakan Wanita SUPP dan pada 2001, dipilih sebagai salah seorang Naib Pengerusi parti.

Pada tahun yang sama beliau mencipta sejarah apabila menjadi calon wanita pertama SUPP dalam pilihan raya negeri, dengan bertanding di Padungan, bagi menggantikan bosnya, Datuk Song Swee Guan yang ketika itu telah memegang peranan itu selama empat penggal.

Swee Guan melepaskan peranan itu kerana beliau turut menjawat Ahli Parlimen Bandar Kuching sejak 1985.

Selepas kalah pada penggal berikutnya, selama 20 tahun, selepas DUN Padungan dipegang oleh parti lawan, Lily terus memegang tampuk SUPP Kuching.

Setiap pilihan raya, cawangannya akan sentiasa menghantar calon berpotensi untuk dinilai, dan kebanyakannya orang muda dan diyakini bukan sahaja boleh menang tetapi mampu bekerja.

Pun begitu, setiap kali itu juga calon-calon muda ini kalah, dek kebangkitan DAP dan sentimen pengundi.

Anehnya, Lily tidak menamakan dirinya untuk kedudukan tersebut.

Menurut sumber SUPP, pengaruh Lily di DUN Padungan sebenarnya cukup besar.

Sebagai kak long, sesiapa yang hendak melalui Parlimen Bandar Kuching, perlu mendapat restu beliau.

Hal itu juga berlaku dalam Pilihan Raya Negeri 2021 apabila Datuk Wee Hong Seng, Datuk Bandar Kuching Selatan dicalonkan.

Difahamkan, SUPP Cawangan Kuching tidak merestui Hong Seng, kerana mereka ada calon lain yang lebih berwibawa dan telah diasuh dan disediakan sejak awal, namun ditolak parti.

Dan kerana itulah, khabarnya, cawangan tersebut menolak berkempen untuk Hong Seng, biarpun ramai tahu ketika itu lawan Hong Seng, Chong Chieng Jen sudah berada pada titik terendah politiknya, selepas ditolak oleh pengundi di Kota Sentosa.

Malangnya, tanpa dukungan SUPP Kuching, Hong Seng tewas dengan majoriti 1,198 undi, dalam saingan tiga penjuru.

Hong Seng diketahui sebagai seorang yang amat rapat dengan Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Justeru tidak hairanlah banyak yang merujuk kes yang sedang dihadapi oleh Lily ini sebagai “balas dendam” dan tunjuk “siapa yang lebih berkuasa” berhubung tindak-tanduknya dalam pilihan raya tersebut.

Hakikatnya, tiada bukti bahawa Lily dan pasukannya melakukan sabotaj. Dan, hubungan beliau dengan Kui Hian selepas itu pun masih teguh, biarpun tidak semesra sebelumnya.

Bagi Hong Seng, beliau tidak mahu masuk campur.

Baginya SUPP mampu menyelesaikan sebarang isu dalaman dengan sewajarnya.

Malah salah seorang ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP menafikan campur tangan jawatankuasa tersebut dan presiden parti dalam urusan pemecatan ini, kerana ia dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti.

Ketika artikel ini ditulis, SUPP Kuching telah menubuhkan satu pasukan petugas khas dan Timbalan Pengerusi, Jong Yean Pin dilantik sebagai pemangku Pengerusi dan Ketua Pemuda Nicholas Wung mengambil alih peranan sebagai Pemangku Setiausaha.

SUPP perlu segera menyelesaikan isu ini.

Sama ada memecat “Kak Long kawasan” atau menerima alasannya dan mengembalikan peranannya – kedua-duanya akan memberi impak besar kepada parti tersebut terutama di kerusi DUN Padungan dan DUN Pending menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir.

Yang pasti tidak ramai yang setuju dengan keputusan ini, kerana ada antara CWC parti itu memberi analogi mudah, “sedangkan Khairy Jamaluddin lagi dimaafkan oleh UMNO untuk mengukuhkan parti, inikan pula ‘kak long’?”

SUPP perlu terima bahawa Lily adalah aset penting dan *warlord* parti yang cukup berpengalaman.

Justeru beliau perlu diurus secara profesional, kerana seperti kata beliau kepada salah satu media di Sarawak: “Saya sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan”.

Nampaknya isu politik SUPP di Bandar Kuching terus menggelegak.

Dan ia berpunca daripada seorang wanita.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU