ARTIKEL

Foto| Magnific

Kalau saya ada RM1 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“ Kalaulah saya ada RM1 juta.” Ungkapan ini mungkin pernah terlintas di fikiran hampir setiap individu. Ada yang membayangkan kehidupan mewah dengan kereta berjenama, rumah besar dan percutian ke luar negara.

Ada juga yang beranganangan untuk terus berhenti kerja serta menikmati hidup tanpa memikirkan soal kewangan.

Nilai RM1 juta ini adalah sekitar RM3,000 sebulan untuk tempoh 333 bulan atau hampir 28 tahun. Sekiranya dikira dalam RM5,000 sebulan, ia sama dengan 200 bulan atau sekitar 16 tahun 8 bulan.

Dan sekiranya anda membelanjakan sebanyak RM10,000 sebulan, RM1 juta akan habis dalam 100 bulan atau lebih 8 tahun.

Pengiraan ringkas tersebut boleh dijadikan panduan sekiranya anda memiliki RM1 juta dan merancang persaraan.

Berdasarkan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sekiranya bayi anda lahir pada 2023, 2024 dan 2025 secara purata masing-masing dijangka hidup sehingga 74.0 tahun, 74.9 tahun dan 75.3 tahun.

Namun, ia hanya data demografi untuk jangkaan hayat di Malaysia.

Jika mengambil kira usia persaraan pada 60 tahun, ini bermakna kita perlu mempunyai simpanan mencukupi untuk meneruskan kehidupan sepanjang tempoh sekitar 16 tahun.

Bagi memudahkan perancangan, tempoh tersebut boleh dibundarkan kepada 20 tahun.

Menurut Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerangka simpanan memiliki tiga tahap. Ia melibatkan simpanan dan pendapatan asas untuk menampung keperluan persaraan yang penting.

Simpanan dan pendapatan mencukupi, untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan.

Dan ketiga ialah simpanan dan pendapatan dipertingkat, untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi.

Secara ringkasnya, tahap simpanan asas adalah sekitar RM390,000 bagi menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 pada tahun satu dan meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20.

Tahap simpanan mencukupi pula adalah sekitar RM650,000 – membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 pada tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.

Tahap simpanan dipertingkat pula sebanyak RM1.3 juta bagi menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 pada tahun satu dan meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20.

Terdapat pengiraan tempoh peralihan untuk tahap simpanan asas baharu, boleh dirujuk terus di laman sesawang rasmi KWSP.

TETAPKAN SASARAN

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sekitar 60 peratus ahli KWSP berpotensi mencapai tahap simpanan asas sekitar RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.

Dedahnya, setakat tahun lalu, seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli sektor formal warga Malaysia berusia 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas tersebut.

Berpandukan data sasaran ini, kita boleh menentukan tahap simpanan yang diinginkan sebelum bersara.

Tidak semua orang mampu menyimpan dalam jumlah yang besar setiap bulan, namun amalan menyimpan secara konsisten mampu memberikan hasil yang memberangsangkan dalam jangka panjang.

Perancangan kewangan juga tidak terhad kepada simpanan di dalam KWSP semata-mata.

Individu boleh mempelbagaikan simpanan melalui pelaburan yang bersesuaian dengan profil risiko masing-masing.

Pada masa sama, sediakan dana kecemasan sekurangkurangnya tiga bulan agar simpanan hari tua tidak diusik.

Langkah ini penting bagi menghadapi situasi di luar jangka seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau peningkatan kos sara hidup.

Hakikatnya, memiliki RM1 juta bukanlah penamat kepada segala masalah.

Wang yang banyak tidak menjamin seseorang bebas daripada tekanan kewangan sekiranya tiada perancangan yang baik.

Sebaliknya, individu yang mempunyai matlamat jelas, disiplin menyimpan dan berbelanja mengikut kemampuan berpeluang membina kekayaan secara berperingkat. Justeru, angan-angan ‘kalaulah saya ada RM1 juta’ sepatutnya diubah kepada ‘bagaimana saya boleh mencapai RM1 juta?’.

Perubahan cara berfikir ini lebih penting kerana ia mendorong kita menetapkan sasaran, merancang kewangan dengan lebih teratur dan mengambil tindakan secara konsisten.

Walaupun jumlah tersebut kelihatan besar, setiap ringgit yang disimpan hari ini merupakan langkah kecil ke arah kehidupan persaraan yang lebih selesa dan terjamin.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU