PELAKON, Kamal Adli, meminta orang ramai tidak meninggalkan komen negatif terhadap dirinya dan isterinya, Uqasha Senrose, di laman media sosial.
Kamal, 39, menerusi hantaran di Instagram berkata, beliau terpanggil untuk memperbetul beberapa kenyataan dan salah faham yang berkaitan dengan dirinya serta isteri baru-baru ini.
Dalam hantaran itu, beliau menafikan andaian orang ramai bahawa beliau tidak mempunyai masa bersama-sama isteri dan anaknya.
“Banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.
Saya seorang ayah, saya sangat sayangkan isteri dan anak saya,” katanya.
Pada masa yang sama, pelakon filem Abang Long Fadil itu turut menafikan dakwaan kononnya beliau tidak menerima sebarang tawaran kerja selama tiga bulan.
“Ada juga yang cakap saya tak ada kerja sampai tiga bulan.
Salah tu.
Saya memang sengaja berehat selama dua bulan selepas bekerja tanpa henti.
Dalam tempoh itu, saya mahu fokus kepada isteri dan anak saya. “Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus.
Cukup untuk keluarga kecil kami.
Yang paling penting, isteri dan anak saya sihat serta sentiasa dalam rahmat Allah.
Saya bersyukur mereka dikelilingi oleh orang yang baik-baik,” katanya.
Kamal menjelaskan, beliau jarang berkongsi hal peribadi di media sosial bukan kerana mahu berahsia, tetapi disebabkan kesan trauma selepas insiden dipukul di Singapura beberapa tahun lalu.
Beliau turut menegur segelintir orang agar tidak meninggalkan komen negatif terhadap dirinya mahupun isterinya.
“Kalau anda biasa ke platform saya, mesti perasan saya jarang kongsi hal peribadi.
Kebanyakan yang saya muat naik berkaitan kerja sahaja.
Mungkin ini kesan trauma daripada kes pukul di Singapura dulu.
“Saya cuma minta jangan ganggu isteri saya atau tinggalkan komen negatif. Isteri saya juga manusia.
“Kadang-kadang penat bekerja, kadang-kadang tertekan.
Yang terbaik, doakan sahaja kami sekeluarga.
Demi Allah, saya sangat sayangkan isteri dan anak saya. #ilovemywife,” tulisnya.
Terdahulu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi perhatian selepas mereka dikatakan tidak lagi saling mengikuti di media sosial.
Uqasha Senrose kemudian tampil menjelaskan keadaan sebenar selepas timbul salah faham dalam kalangan orang ramai yang mendakwa dirinya mengalami keletihan melampau kerana menjaga anak.
Menurut Uqasha, dia sebenarnya sedih dan terbeban kerana terpaksa meninggalkan anak untuk keluar bekerja, bukannya penat menjaga anak seperti yang disangka segelintir pihak.






