ASAJAYA: Kampung Empila Hilir terus mengharumkan nama Sarawak apabila mewakili negeri ke pertandingan Anugerah Desa MADANI di Jengka, Pahang, sekali gus membuktikan keupayaan komuniti luar bandar membangunkan kampung secara mampan dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata kejayaan tersebut merupakan hasil semangat kerjasama, komitmen serta rasa tanggungjawab yang tinggi ditunjukkan oleh kepimpinan kampung dan seluruh penduduk.

“Pencapaian Kampung Empila Hilir turut menyerlahkan keupayaan komuniti luar bandar dalam memanfaatkan potensi setempat serta mengetengahkan identiti dan keunikan kampung sehingga mendapat perhatian di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi ziarah santai bersama warga Kampung Empila Hilir, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Rubiah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh kepimpinan kampung serta penduduk yang telah berganding bahu membangunkan dan menceriakan kampung sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Sehubungan itu, beliau berharap kejayaan yang dicapai akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak kampung di Kota Samarahan dan seluruh Sarawak untuk terus mengambil inisiatif memperindah kawasan masing-masing, mengenal pasti kelebihan setempat serta memperkukuh pembangunan komuniti secara menyeluruh.






