Penduduk Kampung Langgir, Sri Aman bakal memiliki akses jalan darat penghubung mereka ke bandar yang dijadualkan dibina pertengahan November ini.
Jalan kampung tidak berturap itu merupakan usaha Koperasi Kampung Tuba Simunjan Berhad (KKTSB) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak serta syarikat Milenium Mines Sdn Bhd dalam projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) membina jalan penghubung darat untuk kampung berkenaan.

Jarak jalan sejauh 1.2 kilometer itu dibina menghubungkan Kampung Langgir menuju ke Pekan Lingga yang bersambung dengan jajaran Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) yang merupakan pekan utama mereka.
Selain kampung terbabit, kampung sekitar seperti Kampung Tuba, Kampung Menuang, Kampung Engkerepok dan kampung sekitar turut menikmati kemudahan pembinaan jalan tersebut.

Pembinaan jalan itu juga bukan sahaja memudahkan mereka turun ke pekan, malah dapat pergi ke pusat bandar seperti Kuching.
Ketua Projek Komuniti UiTM cawangan Sarawak Dr Tamoi Janggu berkata, kos pembinaan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat dan KKTSB.

“Jalan perhubungan ini diharap dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 1: Tiada kemiskinan).
“Pada masa yang sama, kita berpegang kepada tanggungjawab menjaga alam sekitar mengikut semangat SDG 15: Kehidupan di darat.

“Ini bukti bahawa apabila komuniti bersatu dan memahami hak mereka, kemajuan dapat dicapai tanpa mengorbankan warisan dan alam semula jadi yang kita cintai.” katanya.
Teruja apabila jalan bakal dibina
Ketua Kaum Tuai Rumah (TR) Kampung Langgir Edward Mamut Emparu berkata, jalan tersebut akan memudahkan urusan harian penduduk kampung untuk pergi ke pekan.
“Pengangkutan utama kami hanya menggunakan sungai.

“Saya rasa tidak ramai yang tahu bagaimana kesusahan menggunakan pengangkutan sungai yang bergantung dengan pasang surut air.
“Oleh itu, penduduk kampung melahirkan rasa sangat gembira apabila projek CSR ini membina jalan darat untuk kami,” katanya kepada Suara Sarawak selepas Upacara ‘Nyimah Jalai’ pada 8 November lalu.
Beliau memberitahu sebanyak 22 pintu rumah di kampung mereka yang rata-ratanya hanya tinggal warga emas dan banyak rumah kosong ditinggalkan kerana penduduk berhijrah ke bandar mencari nafkah.
Namun, beliau memuji usaha kerajaan apabila berusaha menyediakan kemudahan asas untuk penduduk seperti tenaga elektrik 24 jam menggunakan teknologi solar, bekalan air paip menggunakan tarikan graviti, membina titi belian dan perkhidmatan doktor udara setiap bulan.
Bagi rangkaian Internet pula, mereka menggunakan perkhidmatan Starlink yang dibeli sendiri oleh anak-anak mereka.
Cabaran yang dihadapi semasa tiada jalan sempurna
Tr Edward Mamut berkongsi cerita kesusahan mereka selama ini menggunakan laluan sungai sebagai penghubung jalan ke pekan atau bandar.
“Untuk pergi ke Pekan Lingga sahaja mengambil masa satu jam lebih menggunakan perahu panjang, tetapi bergantung pada air pasang surut.

“Selalunya, kami akan turun awal pagi mengikut air pasang dan pulang juga sama. Kadang-kadang, kalau tidak bernasib baik, kami akan pulang lewat petang atau malam semata-mata menunggu air pasang,” kongsinya.
Ujarnya, hasil pertanian mereka juga sukar dijual ke pekan kerana pengangkutan sungai yang terhad apatah lagi ketika musim kemarau, kerana air sungai cetek menyukarkan mereka keluar.
Ia belum termasuk kes kecemasan seperti ibu yang hendak bersalin, sakit kronik yang memerlukan rawatan segera dan lain-lain.
Beliau memberitahu setiap kali musim perayaan Hari Gawai, ramai keluarga yang berada di bandar tidak dapat pulang ke kampung kerana perahu untuk membawa mereka adalah terhad.
“Jalan yang dibina ini nanti akan memeriahkan kembali suasana kampung apabila anak-anak dan cucu-cucu dapat pulang membawa kenderaan masing-masing,” katanya dengan wajah yang ceria.
Impak pembinaan jalan terhadap ekonomi penduduk
Tr Edward berkongsi kampungnya terkenal dengan hasil tanaman padi kerana bentuk muka bumi dan jenis tanah yang sesuai dengan tanaman tersebut.
“Semasa zaman kita dahulu, hanya menggunakan kaedah bercucuk tanam secara tradisional. Setiap pintu penduduk dapat menghasilkan 80 hingga 100 guni padi padat setiap kali musim menuai.
“Tetapi sayang, hasil pertanian ini tidak terjual ke bandar kerana kekangan jalan. Oleh itu, ramai penduduk memilih berhijrah ke bandar mencari nafkah,” jelasnya.
Beliau yang sentiasa tersenyum itu berkongsi, dia akan membina rumah baharu untuk anak-anaknya dan mengajak mereka mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian.
“Saya yakin, dengan adanya jalan ini nanti, ramai anak muda mula kembali ke kampung dan berminat dengan aktiviti pertanian kerana telah mempunyai akses jalan untuk menjual hasil tani seperti tanaman kelapa sawit dan tanaman komersil yang lain,” jelasnya.



