BARAM: Pengiktirafan rasmi Kampung Long Siut, Sungai Selungo oleh Kerajaan Sarawak menjadi lambang perpaduan dan semangat muafakat masyarakat Kenyah Jamok yang sekian lama berjuang menuntut pengiktirafan kampung mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pengiktirafan tersebut merupakan status pentadbiran yang membuka ruang kepada penduduk untuk menikmati pelbagai kemudahan serta pembangunan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja bermakna dari segi pentadbiran, tetapi juga satu penghargaan terhadap usaha gigih, semangat muafakat dan perpaduan masyarakat setempat.
“Dengan status rasmi ini, Kampung Long Siut layak menerima pelbagai kemudahan serta bantuan pembangunan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Kampung Long Siut dan Pelantikan Ketua Kaum Long Siut di Baram, baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Lawai Ulok dilantik sebagai Ketua Kaum pertama Kampung Long Siut, menjadikan detik berkenaan bersejarah bagi komuniti yang kini secara rasmi diiktiraf dalam struktur pentadbiran negeri.
Tambah ADUN Mulu itu, pelantikan ketua kaum membawa tanggungjawab besar sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Ketua kaum berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan suara penduduk didengari dan keperluan mereka dipenuhi,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.



