SIBU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sistem pembetungan di Jalan Pedada, petang semalam (4 Ogos).
Mangsa, dikenali sebagai Ehthin Ling, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus selepas mayatnya berjaya dibawa naik oleh pasukan penyelamat.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 6.29 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral yang diketuai Komander Operasi PBK II TBK I John Abas digerakkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS melibatkan kekuatan 10 anggota.
Pasukan tiba di lokasi empat minit kemudian dan dimaklumkan oleh bapa mangsa bahawa anak lelakinya dipercayai terjatuh ke dalam sistem pembetungan berhampiran.
“Operasi pencarian dilancarkan serta-merta dan pada jam 6.55 petang, mangsa berjaya dikesan timbul di dalam saluran pembetungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dibawa keluar sekitar jam 7 petang namun pemeriksaan lanjut oleh petugas perubatan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.30 malam.
Turut berada di lokasi semasa operasi adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas KKM yang memberikan bantuan sepanjang misi menyelamat dijalankan.



