BINTANGOR: Kegembiraan sebuah keluarga yang beriadah di kolam renang bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan lemas di sebuah kolam renang di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7.03 petang dan disahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong selepas menerima laporan berkaitan insiden tersebut.
“Mangsa berada di kolam renang berkenaan bersama ahli keluarganya yang dianggarkan seramai sembilan hingga 13 orang bagi aktiviti riadah.
“Bagaimanapun, ketika semua ahli keluarga sedang mandi, mangsa dipercayai hilang daripada pengawasan ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Tansli, kejadian hanya disedari selepas salah seorang ahli keluarga mula mencari mangsa yang tidak kelihatan sebelum usaha mengesan dilakukan oleh ahli keluarga lain di sekitar kolam tersebut.
Mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam sebelum segera dinaikkan ke permukaan dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh ahli keluarga.
“Pasukan ambulans dari Hospital Sarikei yang tiba tidak lama kemudian turut berusaha memberikan bantuan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.


